Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives July 2024

KBS ambil langkah elak isu doping atlet Olimpik

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) percaya atlet negara berada pada momentum terbaik sebelum beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris hujung bulan ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, pelbagai langkah diambil bagi memastikan atlet negara bebas penggunaan doping dan barang larangan.

“Saya rasa atlet negara memang sangat berhati-hati dan berdisiplin dalam pengambilan makanan tambahan yang boleh memberi kesan kepada mereka.

“Selalunya bila berlaku isu-isu doping kerana tak sengaja. Kadang-kadang ada tidak sedar bahan yang terdapat dalam makanan tambahan yang diambil,” katanya kepada pemberita pada program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) di Kolej Poly-Tech Mara, Meru Raya di sini pada Ahad.

Menurut beliau, setakat ini pihaknya tidak berdepan dengan isu doping melibatkan kontinjen negara itu.

“Jadi kita akan memastikan perkara ni tak berulang, pengambilan makanan tambahan turut dipantau di bawah Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).

“Setakat ini kita tak ada masalah berdepan dengan isu doping dan memang kita laksanakan banyak langkah-langkah yang diperlukan sebelum mereka ni berlepas ke Paris,” katanya.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Zii Jia fokus misi Olimpik Paris

SEPANG: Pengembaraan Lee Zii Jia bagi memburu pingat emas Sukan Olimpik 2024 bermula apabila dia bersama pasukannya berlepas ke Paris, malam ini.

Pemain perseorangan lelaki nombor tujuh dunia itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.30 dengan dia dijadual berlepas jam 9.45 malam menerusi penerbangan Singapore Airlines.

Bekas juara Seluruh England itu ditemani pengurus yang juga kakaknya, Lee Zii Yii; jurulatih, Wong Tat Meng; jurulatih kecergasan, Lim Joe Heang; fisioterapi, Rayvadee Rattanakthada dan rakan sepelatih, Lee Shun Yang.

Bagaimanapun, Zii Jia mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ apabila enggan ditemu bual oleh pihak media yang hadir membuat liputan.

Difahamkan, hanya Zii Jia dan Tat Meng akan menginap di perkampungan atlet yang terletak di Daerah Saine-Saint-Denis di luar Paris memandangkan hanya mereka yang mendapat akreditasi.

Di Paris kali ini, Zii Jia diundi dalam Kumpulan G bersama pemain Sepanyol, Pablo Abian dan Viren Nettasinghe dari Sri Lanka.

Sebelum ini, Zii Jia secara terbuka menetapkan sasaran untuk membawa pulang emas dari Paris.

Olimpik Paris menjadi penampilan kedua Zii Jia di temasya terbesar dunia itu selepas Olimpik Tokyo 2020, tiga tahun lalu.

Ketika itu, dia terpaksa akur apabila tersingkir di suku akhir selepas tewas di tangan pemain China, Chen Long.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kem memanah optimis jelmakan pingat

PEMANAH recurve negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi optimis kem memanah mampu menjelmakan sekurang-kurangnya satu pingat biarpun tampil berstatus bukan pilihan di Sukan Olimpik Paris 2024.

Atlet berusia 19 tahun itu berkata, bagi sukan memanah setiap atlet hanya akan bersaing dengan diri sendiri dalam usaha mengawal emosi dan taktik bidikan untuk memburu podium di Paris.

Oleh itu, katanya, tidak mustahil untuk kem memanah menaiki podium, sekali gus memperoleh pingat di temasya sukan empat tahun sekali tersebut.

“Tidak mustahil untuk kami bawa balik sesuatu dari Paris, mungkin pingat acara berpasukan insya-ALLAH ataupun seorang dari kami akan bawa balik pingat bagi individu, tidak mustahil bagi saya.

“Bagi saya, kami akan lawan diri sendirilah mungkin dari segi macam mana kami kawal diri dekat sana nanti mungkin kita boleh memperbaiki dari segi bidikan ke ataupun skor kami di sana,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Paris bagi temasya Sukan Olimpik Paris yang akan membuka tirainya 27 Julai ini.

Ariana berlepas ke Paris bersama dua lagi atlet memanah, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh bersama ketua jurulatih Lee Jae-hyung, seorang pengurus pasukan dan seorang pegawai perubatan.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Johnathan tak mahu pulang tangan kosong lagi

SEPANG: Atlet menembak negara, Johnathan Wong enggan pulang dengan tangan kosong apabila beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Johnathan, 31, yang akan membuat penampilan kedua di Olimpik selepas edisi 2016 di Rio de Janeiro akan menyertai acara 10 meter (m) air pistol.

Bekas pemenang pingat emas Sukan SEA itu, berkata persiapannya kali ini lebih baik berbanding ketika di Rio de Janeiro.

ADVERTISING

Katanya, sebagai atlet sudah tentu dia mendambakan untuk memenangi pingat emas sulung buat kontinjen negara di temasya terbesar dunia itu.

“Saya rasa itu adalah kemuncaknya (memenangi emas), saya percaya semua atlet Malaysia pun memasang impian yang sama.

“Siapa yang tidak mahu menang? Kalau tak mahu menang, lebih baik kita tak pergi.

“Secara keseluruhannya, saya sudah buat persiapan terbaik dan saya yakin pasukan saya juga sudah berusaha sepenuhnya untuk membantu saya,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Paris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Johnathan, berkata keputusan yang dicapai dalam kejohanan terakhir sebelum Olimpik – Siri Piala Dunia di Munich, Jerman, bulan lalu memberi petanda positif untuk dia mencapai kemuncak prestasi di Paris kali ini.

Penembak negara Johnathan Wong sebelum bertolak ke Sukan Olimpik Paris 2024 di KLIA hari ini. - Bernama
Penembak negara Johnathan Wong sebelum bertolak ke Sukan Olimpik Paris 2024 di KLIA hari ini. – Bernama

Katanya, di Munich dia berjaya membidik 578 mata yang mana ia boleh dianggap memuaskan dan percaya dia boleh melakukannya yang lebih di Olimpik.

“Sukar untuk kita ramalkan apa yang akan berlaku di Olimpik nanti. Untuk peringkat awal, fokus adalah untuk layak ke final terlebih dahulu.

“Sekiranya berjaya ke final, sudah tentu saya akan berjuang untuk mendapatkan emas,” katanya.

Mengikut format pertandingan, hanya lapan terbaik daripada 33 atlet daripada pusingan kelayakan akan mara ke pentas final.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PELEPASAN KONTINJEN NEGARA KE TEMASYA SUKAN OLIMPIK PARIS 2024

Selamat maju jaya dan selamat berjuang Johnathan Wong, Atlet Menembak Negara!

Temasya Sukan Olimpik Paris akan membuka tirai pada 26 Julai hingga 11 Ogos 2024 dengan sasaran untuk membawa pulang pingat emas pertama buat negara.

Terima kasih diucapkan kepada barisan penaja rasmi MSN:

1) 100 Plus

2) Tudung People

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
The Pocket Rocketman perlu waspada muslihat lawan

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal trek negara, yang dilengkapi dengan versi baharu basikal WX-R Vorteq bernilai RM385,800 setiap satu, melangkah ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan tanggungjawab besar selaku harapan utama pingat kontinjen Malaysia.

Tumpuan tentunya terarah kepada juara dunia keirin 2017 Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang membuat penampilan kelimanya, menyamai rekod atlet terjun negara Datuk Leong Mun Yee dan mengatasi rekod legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei yang beraksi sejak edisi Athens 2004.

Mohd Azizulhasni, 36, dilihat sebagai potensi untuk menukar warna pingat kepada emas selepas memenangi gangsa dalam acara keirin pada edisi Rio 2016 dan perak di Tokyo 2022.

Namun, penampilan terakhir The Pocket Rocketman di pentas Olimpik kali ini bukan sahaja untuk mempamerkan kayuhan bertenaga, malah perlu juga berwaspada dengan ‘muslihat’ lawan dan pada masa sama memastikan kesihatannya pada tahap terbaik, selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022.

Bekas pelumba kebangsaan Mohd Rizal Tisin, yang pernah beraksi dalam acara pecut berpasukan di Olimpik Beijing 2008 berkata Mohd Azizulhasni selaku atlet paling senior dan berpengalaman dalam skuad negara pasti mempunyai perancangan strategi dan taktikal tersendiri selepas dikecewakan di Olimpik Tokyo, tiga tahun lepas.

“Target beliau pun acara keirin, yang lebih kepada taktikal dan pengalaman untuk menang. Tak semestinya kalau kuat boleh menang, kelebihan Azizul adalah pengamalannya serta tahu latar belakang taktikal yang sering digunakan pelumba lain.

“Beliau perlu lebih berhati-hati dan tidak terlalu fokus kepada satu pelumba sahaja sehingga memberikan ruang kepada pelumba lain. Setiap pelumba mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing, jadi setiap pusingan itu perlu fokus dan jangan terlalu beri perhatian kepada satu pelumba sahaja,” katanya.

Pada Tokyo 2020 yang diadakan setahun lewat kerana pandemik COVID-19, Mohd Azizulhasni terpaksa berpuas hati dengan perak apabila Matthew Glatzier dari Australia membiarkan pelumba Great Britain, Jason Kenny melakukan kayuhan solo di hadapan tanpa mengejarnya.

Bekas jurulatih kebangsaan Indonesia itu berpendapat Mohd Azizulhasni perlu juga memberikan tumpuan kepada pemulihan selepas setiap pusingan dan tidak terlalu menghabiskan tenaganya pada pusingan awal untuk berada pada tahap terbaik di final kelak.

Sementara itu, versi baharu jentera WX-R Vorteq yang dibangunkan oleh Institut Sukan Negara (ISN) dengan kos RM7.5 juta untuk menaik taraf daripada versi yang digunakan di Tokyo 2020, turut dijangka memainkan peranan utama dalam menentukan kejayaan di Velodrom Nasional di St Quentin-en-Yvelines, lebih kurang 40km dari Paris.

“Kalau kita lihat perbezaan memang banyak dari basikal, suit (pakaian), helmet (topi keledar) dan peralatan lain, dengan banyak negara dah buat R&D (penyelidikan dan pembangunan) basikal dan windtunnel sendiri. Walaupun ia nampak macam mudah, dari segi sains sukan ia banyak membantu.

“Walaupun sedikit tapi banyak yang membantu sebenarnya. Kita berharap sokongan lebih baik ini, dapat membantu pasukan kita pulang dengan kejayaan,” katanya.

Selain Mohd Azizulhasni, tidak lupa juga peluang Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk keluar dari bayangan seniornya itu untuk menjadi dark horse (kuda hitam) pada edisi kali ini manakala penampilan pertama Nurul Izzah Izzati Mohd Asri boleh menjadi medan timba pengalaman berharga atau mencipta magis untuk menyaingi jaguh berbasikal wanita dunia yang lain.

Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus akan beraksi dalam acara keirin dan pecut lelaki, manakala Nurul Izzah Izzati akan membawa cabaran dalam acara keirin dan pecut wanita apabila acara berbasikal trek membuka tirai pada 5 hingga 11 Ogos.

Berdasarkan prestasi sejak dua tahun ini, Harrie Lavreysen dari Belanda yang pernah meraih 13 emas di Kejohanan Dunia, Matthew Richardson (Australia), Nicolas Paul (Trinidad dan Tobago), Kevin Quintero dari Colombia serta dua wakil Jepun, Ota Kaiya dan Shinji Nakano merupakan antara pencabar utama podium bagi acara pecut dan keirin di Paris 2024.

Profil

——–

Nama panggilan/gelaran: Jijoe/ The Pocket Rocketman

Umur: 36 tahun

Asal: Dungun, Terengganu

Penampilan: Olimpik Beijing 2008, London 2012, Rio 2016, Tokyo 2020

Ranking: kelapan dunia, ketiga Asia

Pencapaian:

Pingat perak Olimpik Tokyo 2020 (keirin)

Pingat gangsa Olimpik Rio 2016 (keirin)

Pingat emas Kejohanan Dunia 2017 di Hong Kong (keirin)

Pingat perak Kejohanan Dunia 2009 (pecut) dan 2010 (keirin)

Empat pingat gangsa di Kejohanan Dunia

Pingat emas Sukan Asia 2010 Guangzhou (keirin) & 2018 Jakarta-Palembang (pecut)

Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang: pingat perak (pecut berpasukan) & gangsa (keirin)

Pingat gangsa Sukan Komanwel 2010 New Delhi (pecut berpasukan) & 2014 Glasgow (keirin)

– BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nasihat Wendy buat penerjun negara

KUALA LUMPUR: Buat yang terbaik dan nikmati setiap terjunan.

Itu nasihat bekas penerjun wanita, Wendy Ng kepada atlet terjun negara yang akan menggalas cabaran di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada edisi kali ini, Malaysia akan diwakili Bertrand Rhodict Lises dalam acara 10 meter (m) platform individu lelaki dan Nur Dhabitah Sabri menerusi 3m papan anjal individu wanita.

Wendy yang memiliki pengalaman tiga kali beraksi di temasya terbesar dunia itu, berkata kejayaan melayakkan diri beraksi di Olimpik sudah boleh dianggap satu pencapaian besar dan apa yang paling mereka menikmati setiap terjunan yang dilakukan.

“Setiap mereka yang bergelar atlet mesti bercita-cita untuk beraksi di Olimpik. Untuk ke Olimpik juga tak mudah.

“Jadi apabila impian itu sudah dipenuhi apa yang penting adalah berikan yang terbaik,” katanya yang beraksi di Olimpik London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Olimpik Paris akan membuka tirainya pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini dengan acara terjun akan berlangsung diPusat Akuatik St Denis, Paris.

Dhabitah terlebih dahulu akan turun beraksi pada 7 Ogos dan diikuti Bertrand pada 9 Ogos bagi acara kelayakan.

Acara final 3m papan anjal akan berlangsung pada 9 Ogos manakala acara 10m platform akan berlangsung sehari selepas itu.

Skuad terjun menjadi penyumbang pingat buat kontinjen negara pada edisi London 2012 menerusi Datuk Pandelela Rinong yang meraih gangsa acara 10m individu sebelum dia memenangi perak bersama Cheong Jun Hoong dalam acara 10m terjun di Rio 2016.

Bagaimanapun, skuad terjun negara pulang dengan tangan kosong pada edisi di Tokyo 2020.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nabil, Zara ungguli Sirkit Remaja Kebangsaan

KUALA LUMPUR – Dua bakat muda skuasy negara, Nabil Iman Sharizan Azrol dan Najwa Zara Mohd. Fakhrur Razi menunjukkan prestasi cemerlang selepas menjuarai kategori bawah 19 tahun (B-19) Pusingan Kedua Kejohanan Skuasy Sirkit Remaja Kebangsaan hari ini.

Nabil Iman yang mewakili Perlis menewaskan pemain Kuala Lumpur, Erwin Kros Christopher dengan keputusan 12-10, 11-9, 11-4 dalam tempoh 32 minit pada aksi final di Pusat Skuasy Kompleks Astaka, Petaling Jaya

Ia sekali gus menebus kekecewaannya ketika pertarungan final Kejohanan Skuasy Remaja Asia di Bangkok,Thailand pada Mei lalu.

Pada Pusingan Pertama Kejohanan Skuasy Sirkit Remaja Kebangsaan di Pulau Pinang, Mei lalu, Nabil hanya meraih gelaran naib juara setelah tewas kepada pemain tuan rumah, Ivan Chang sekali gus menganggap kemenangan kali ini sangat bermakna baginya.

“Saya main sehabis baik kerana waktu latihan memang saya selalu kalah dengannya. Jadi saya cuba mendorong diri saya untuk menang ke atas dia dan itu menjadi sasaran saya.

“Ketika di Bangkok, saya kalah kepada Erwin dengan keputusan 1-3, jadi kali ini saya dapat kalahkannya dengan keputusan 3-0, saya rasa amat gembira,” katanya.

Sementara itu, Najwa Zara yang mewakili Kuala Lumpur turut meluahkan kegembiraan apabila berjaya mengatasi Dayana Qistina Anuar dari Kedah dengan keputusan 11-4, 6-11,11-8, 11-9 dalam tempoh 25 minit pada final B-19 wanita.

“Lawan saya bermain dengan agak baik dan memberikan tentangan sengit kepada saya. Apa pun saya gembira dapat mengatasinya dalam perlawanan final hari ini,” katanya.

Pada edisi lalu, Najwa Zara sekadar meraih naib juara apabila tewas kepada pemain Negeri Sembilan, Harleein Tan di pentas final. – KOSMO! ONLINE

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
AMANAT KETUA PENGARAH MSN BERSAMA PEGAWAI & ANGGOTA BERTUGAS TEMASYA & ACARA UTAMA 2024

Satu sesi Taklimat dan Amanat oleh Ketua Pengarah MSN, YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub bersama Pegawai dan Anggota yang akan bertugas khusus di Temasya dan Acara Utama 2024 telah diadakan di Dewan Banquet Casa 4, MSN.

Seramai 151 orang Pegawai & Anggota MSN telah dibahagikan tugasan mengikut kepakaran masing-masing khusus ke arah Sekretariat Kontinjen Negara di Temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024 manakala sebahagian besar pula akan mencurahkan keringat bagi operasi pengelolaan Temasya SUKMA dan Para SUKMA Sarawak 2024 serta Petronas Le Tour de Langkawi 2024.

Semua yang terlibat bersiap sedia bagi memastikan tugasan yang dirancang dapat dilaksanakan demi menjaga imej Negara tercinta.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SAMBUTAN KEPULANGAN PASUKAN TENPIN BOLING KEBANGSAAN DARI IBF WORLD YOUTH CHAMPIONSHIP 2024 INCHEON, KOREA SELATAN

Pasukan Tenpin Boling Kebangsaan telah tiba di KLIA daripada Kejohanan IBF World Youth Championship 2024 di Incheon, Korea Selatan pada Jumaat jam 5.30 petang.

Kejohanan tersebut telah berlangsung pada 7 hingga 18 Julai yang lalu dan kontinjen negara telah memenangi 1 pingat Emas menerusi acara Berpasukan Wanita yang dibarisi oleh Nur Hazirah Ramli, Adelia Nur Irwan Syazalee, Anis Hannani Romzi dan Adania Mohd Redzwan.

Manakala 1 lagi pingat gangsa menerusi acara Berpasukan Campuran oleh Nur Hazirah Ramli, Adania Mohd Redzwan, Izz Naqiuddin Putera Islahuddin dan Hariz Adlan.

Majlis Sukan Negara Malaysia