Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives July 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PROGRAM TAKLIMAT KOD SUKAN SELAMAT BERSAMA KONTINJEN SUKMA NEGERI JOHOR

Sesi Taklimat Kod Sukan Selamat bersama atlet dan jurulatih Kontinjen SUKMA Johor telah diadakan pada 31 Julai yang lalu bertempat di Dewan Utama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Johor.

Seramai 450 orang atlet dan jurulatih telah hadir ke sesi taklimat yang bertujuan untuk menekankan pengetahuan mengenai hak, peranan dan tanggungjawab semua pihak di bawah garis panduan Kod Sukan Selamat.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SAMBUTAN KEPULANGAN PASUKAN MENEMBAK KEBANGSAAN DARI OLIMPIK PARIS 2024

Johnathan Wong, Atlet Menembak Negara telah tiba di KLIA daripada Paris jam 8.40 pagi tadi.

Johnathan yang telah membuat penampilan kali ke-2 nya di temasya terbesar itu telah menamatkan saingan di pusingan kelayakan.

Turut hadir sama, Encik Mohd Raizal Muhamat Yaakob, Pengarah Bahagian Fasiliti, MSN.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKMA: Pasukan Mobile Legends Bang Bang Sabah ‘bidik’ pingat emas

Kota Kinabalu: Pasukan Sabah dalam acara Mobile Legends Bang Bang dalam e-sukan ‘membidik’ pingat emas untuk Negeri Di Bawah Bayu itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Mohammad Irwandy Lim, 20, yang memenangi pingat perak Sukan SEA 2023 berkata, pasukannya akan berusaha mempamerkan prestasi terbaik kerana pemain yang dihantar pasukan lain juga adalah dalam kalangan pemain yang berpengalaman dan mempunyai kelebihan masing-masing.

Beliau dikenali sebagai ‘Izanami’ dalam e-sukan itu berkata Sabah juga turut membariskan seorang lagi pemain berpengalaman Ealtond Rayner atau ‘Lolealz’ yang pernah bermain dalam Mobile Legends: Bang Bang Mid Season Cup (MSC), malah pernah juga bersamanya dalam pasukan RSG Malaysia.

“Kami di Sabah tidak akan sekali-kali memandang rendah pasukan lain dan fokus merealisasikan sasaran satu pingat emas untuk Sabah dalam e-sukan pada SUKMA nanti.

“Bagi saya tekanan menjadi sandaran emas tidak ada kerana kami pernah bermain dalam kejohanan lebih besar.

“Kami juga sedang dalam persiapan untuk memantapkan lagi pasukan sebelum ke SUKMA nanti,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran dan memperkenalkan pasukan e-sukan Sabah pada SUKMA Ke-21 di sini, hari ini.

Sementara itu, Zulfiqri Amarullah, 18, antara pemain muda penting dalam pasukan e-sukan Sabah untuk acara Tekken 8 berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk memastikan sasaran sekurang-kurangnya membawa pulang pingat perak dicapai.

“Kini saya dalam keadaan terbaik untuk menghadapi SUKMA dan harap sasaran pingat itu dapat dicapai, namun saya akan mempertingkatkan lagi latihan agar mampu melebihi sasaran yang ditetapkan,” katanya yang meraih perak dalam acara Tekken 7 pada Sukan Sabah Edisi Ke-10.

Sementara itu, Pengurus E-sukan SUKMA Sabah Mohd Sofihizar Usrah berkata pihaknya yakin sasaran satu pingat emas, dua pingat perak dan dua gangsa dapat dicapai berdasarkan prestasi setiap atlet yang ada.

“Kita akan melipatgandakan latihan dan akan mengadakan beberapa siri perlawanan dengan pemain-pemain berpengalaman di Sabah dan saya harap latihan berkenaan dapat meningkatkan lagi prestasi setiap peserta,” katanya.

Seramai 12 peserta bakal mewakili negeri Sabah dalam acara itu yang terdiri daripada enam peserta untuk Mobile Legends Bang Bang, dua untuk eRacing, dua untuk eFootball dan dua lagi untuk Tekken 8.

Terdapat tujuh kategori menawarkan keseluruhan 21 pingat dalam acara e-sukan pada SUKMA kali ini yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pelayaran Negara Menjalani Latihan Terakhir

Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Affendy dan Nur Shazrin Mohd Latif menjalani latihan terakhir di Marina Marseille sebelum turun memulakan aksi pada 1 Ogos 2024.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tang Jie-Ee Wei beri tumpuan aspek disiplin

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memilih untuk tidak terlalu memikirkan perlawanan suku akhir menentang wakil Korea Selatan, Kim Won-ho-Jeong Na-eun pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebaliknya, Ee Wei menegaskan dia lebih suka menumpukan perhatian kepada persediaan mereka berbanding lawan, yang menduduki ranking kelapan dunia, pada perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Arena Porte de La Chapelle esok.

“Pelan permainan kami banyak memberi tumpuan kepada diri kami sendiri dan mengekalkan disiplin,” katanya.

Tang Jie menegaskan mereka akan menjalankan analisis video mengenai permainan Won-ho-Na-eun.

Berdasarkan rekod pertemuan mereka, Tang Jie-Ee Wei mempunyai kelebihan, setelah memenangi dua daripada tiga perlawanan terakhir menentang Won-ho-Na-eun.

Jika mereka mengatasi Won-ho-Na-eun, pasangan negara akan berdepan pemenang perlawanan antara pasangan utama Korea Selatan, Seo Seung-jae-Chae Yu-jung dan Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong di separuh akhir.

Tang Jie-Ee Wei mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A selepas menewaskan pilihan kedua, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China, selain menewaskan Terry Hee-Jessica Tan dari Singapura dan Vinson Chiu-Jennie Gai dari Amerika Syarikat.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Syaqiera alih fokus tuai pingat di Sukan SEA Thailand 2025

KUALA LUMPUR: Biarpun terpaksa akur pulang awal namun pemanah negara, Syaqiera Mashayikh tetap berfikiran positif dengan menyifatkan prestasinya di Sukan Olimpik Paris 2024 lebih konsisten.

Syaqiera yang membuat penampilan sulung di Tokyo 2020 berkata, secara keseluruhan dia berpuashati dengan panahan konsistennya kali ini dan bertekad memasang impian menjadi pesaing utama pingat di Sukan SEA Thailand, tahun depan.

Aksi Syaqiera Mashayikh. Foto: REUTERS
Aksi Syaqiera Mashayikh. Foto: REUTERS

“Prestasi sebelum ini agak mendatar, tetapi di sini ada nampak prestasi saya meningkat dan panahan saya konsisten. Cuaca memang panas pada hari ini.

“Berbanding Tokyo, keadaan di sini lebih meriah dengan saingan pun lebih sengit. Apa perlu ditingkatkan ialah skil dan mental ketika pertandingan kerana ia penting untuk menentukan pemenang,” katanya.

Syaqiera Mashayikh ketika beraksi dalam acara memanah pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Invalides hari ini. Foto: BERNAMA
Syaqiera Mashayikh ketika beraksi dalam acara memanah pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Invalides hari ini. Foto: BERNAMA

Terdahulu, hasrat atlet berusia 23 tahun itu untuk mara ke aksi penyingkiran 1/8 tidak kesampaian apabila tewas 5-6 kepada Ana Luiza Sliachticas Caetano dari Brazil hari ini.

Syaqiera dan Caetano masing-masing mempamerkan aksi sengit sehingga keputusan terpaksa ditentukan menerusi ‘shoot-off’ selepas kedua-dua atlet terikat 5-5 pada aksi penyingkiran 1/16.

Sebelum itu, Syaqiera mara ke pusingan 1/16 selepas menewaskan lawan berpengalaman yang juga olimpian tiga kali dari Moldova, Alexandra Mirca dengan keputusan 6-0 dalam saingan 1/32.

Esok, dua lagi pemanah, Ariana Nur Diana Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil bakal beraksi dalam acara individu dalam pusingan penyingkiran 1/32.

Ariana dijadual bertemu Ciara Rebagliati dari Itali, manakala Nur Azreena akan mencabar wakil Turkiye, Elif Berra Gokkir.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Perjalanan Atlet Memanah Negara

Perjalanan atlet memanah negara, Syaqiera Mashayikh di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 terhenti di pusingan 1/16 selepas tewas tipis 5-6 kepada lawan dari Brazil, Ana Luiza.

Comeback stronger💪

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pearly-Thinaah berdepan So Yeong-Hee Yong di suku akhir

PARIS: Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah akan berdepan pemenang pingat gangsa edisi lalu, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan pada perlawanan suku akhir badminton Sukan Olimpik Paris 2024, esok.

Undian pusingan kalah mati dijalankan selepas tamat kesemua perlawanan peringkat kumpulan acara beregu wanita di Porte de La Chapelle Arena.

Pada temasya Olimpik Tokyo 2020, So Yeong-Hee Yong meraih gangsa selepas mengetepikan cabaran rakan senegara, Lee So Hee-Shing Seung Chan pada perlawanan penentuan pingat.

Dalam satu-satunya pertemuan sebelum ini, Pearly-Thinaah tewas kepada pasangan Korea Selatan itu 14-21, 14-21 pada perlawanan peringkat kumpulan saingan Jelajah Dunia Akhir 2021.

Jika Pearly-Thinaah berjaya mengatasi gandingan kesepuluh dunia berkenaan, pemenang emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu bakal diuji lebih hebat apabila berdepan juara dunia empat kali, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan sekali lagi di separuh akhir.

Berdasarkan percaturan di tas kertas, pasangan China itu dijangka tidak mempunyai masalah menyingkirkan wakil Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva di suku akhir acara beregu wanita itu.

Pearly-Thinaah yang menghuni tangga ke-13 dunia memulakan kempen peringkat kumpulan dengan langkah kiri apabila tewas kepada Qing Chen-Yi Fan, sebelum mencipta dua kemenangan luar biasa mengatasi pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti untuk mara ke suku akhir.

Sementara itu, undian berkenaan menyaksikan gandingan kedua terbaik dunia, Baek Ha Na-Lee So Hae dari Korea Selatan akan bertemu Liu Cheng Shu-Tan Ning manakala wakil Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dijadual membuat perhitungan dengan pasangan Denmark, Maiken Fruergaard-Sara Thygesen. – BERNAMA

Beregu Wanita Mara Suku Akhir

Pasangan beregu wanita, Pearly Tan-M.Thinaah mencatat kemenangan kedua kumpulan A dengan menewaskan gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-18, 21-9 sekaligus mara ke suku akhir sebagai naib juara kumpulan A.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Melaka sasar empat teratas

Melaka: Skuad ragbi lelaki Melaka menyasarkan untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak bulan depan.

Presiden Persatuan Ragbi Negeri Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata pihaknya optimis sasaran mampu dicapai berdasarkan prestasi dan pasukan yang dibentuk ketika ini.

Beliau berkata sejak 2022, persatuan itu mengenal pasti hampir 60 pemain berpontensi sebelum disenarai pendek kepada 12 pemain terbaik untuk mewakili Melaka pada temasya itu.

“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya menghadiahkan pingat untuk acara ini namun tidak dapat menentukan warnanya… kita akan cuba memastikan untuk menjadi empat pasukan terbaik.

“Persiapan rapi juga dilakukan sejak setahun lepas dan pemain-pemain kini bersiap sedia sepenuhnya selepas giat menjalani latihan,” katanya kepada pemberita di sini.

Hameed berkata kebanyakan pemain yang mewakili Melaka itu juga pernah beraksi pada edisi SUKMA sebelum ini ketika rata-rata mereka berumur 19 tahun.

“Keserasian pasukan telah dibentuk sejak tempoh itu selain terdapat tambahan seorang, dua pemain baharu yang dibawa masuk.

“Dengan segala perancangan yang diatur, kita percaya ia dapat membuahkan hasil jika pasukan ini mampu menterjemahkan segala yang telah kita usahakan selama ini,” katanya.

Acara ragbi dijadual berlangsung di Stadium Miri dari 19 hingga 22 Ogos.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia