Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives July 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PROGRAM TAKLIMAT KOD SUKAN SELAMAT BERSAMA KONTIJEN BELANG TARUNG 3 WARNA MSN PERAK

Seramai 350 atlet dari 30 jenis sukan yang akan bertanding di Temasya SUKMA Sarawak 2024 telah menghadiri sesi taklimat yang diadakan di Bukit Merah Lake Town Resort.

Sesi ini dikendalikan oleh urusetia MSN pada Kem Akhir Kontijen Belang Tarung Tiga Warna yang diadakan pada 2-4 Julai 2024.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Semangat pemburuan emas AUG 2024 terus membara

NYALAAN pemburuan pingat emas hari ketujuh saingan Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024 kontinjen negara diteruskan dengan merangkul empat medal tersebut pada Selasa.

Pemegang rekod kebangsaan lempar cekera wanita negara, Queenie Ting Kung Ni membuka gelanggang olahraga dengan butiran emas dari Lapangan Atletik FIK Universitas Negeri Surabaya (UNIESA).

Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu meninggalkan dua pesaing terdekat dari Indonesia, Wahyu Nur Aini (43.41m) dan Maria Aviliationo (42.47m) dengan mencatatkan balingan 45.23 meter (m) sekali gus mempertahankan pingat emas dimenanginya edisi Ubon Ratchathani 2022.

Atlet lompat jauh, Andre Anura Anuar kemudian menambah satu lagi pingat emas hasil lompatan 7.46 meter (m) untuk pengekalan kali kedua pingat emas dijanakan Lukman Hakim Ramlan pada edisi 2022.

Andre Anura

Andre Anura

Sementara itu, skuad badminton negara menjana dua pingat emas di Pusat Konvensyen Graha Cakrawala, Universitas Negeri Malang menerusi beregu lelaki, Wong Tien Ci-Liew Xun yang menewaskan gandingan Indonesia, Elgiffani Muhammad Juan-Purnama Reza Dwicahya, 21-19, 21-10.

Wee Yee Hern-Ng Qi Xuan

Wee Yee Hern-Ng Qi Xuan

Emas kedua negara dibutirkan beregu campuran negara Wee Yee Hern-Ng Qi Xuan yang menyingkirkan cabaran Elgiffani-Jovita Elizabeth dari Indonesia, 17-21, 21-17, 21-11.

PENAMPILAN AZEEM DI AUG 2024

RAJA pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi sudah bersedia memberikan segala-galanya sekiranya terpilih mengalas cabaran Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 yang menyingkap tirai pada penghujung Julai ini.

Azeem

Azeem

“Sejujurnya saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk itu (tiket wild card Sukan Olimpik Paris 2024), namun sekiranya terpilih saya sudah bersedia memberi yang terbaik.

“Insya-ALLAH sekiranya rezeki saya akan ke Paris, saya ada masa sebulan memastikan bersedia sepenuhnya, sekiranya sebaliknya saya tetap berlapang dada akur sebarang keputusan yang diputuskan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia).

Sinar Harian

Berita Telus & Tulus menerusi E-Mel setiap hari!

“Andaikata saya tidak terpilih ke Sukan Olimpik, saya akan memberikan tumpuan kepada Sukma Sarawak 2024,” kata penuntut Universiti Auburn tersebut pemberita selepas aksi acara 100 meter lelaki akhir pada Selasa.

Sebagai rekod, perebutan tiket wild card antara Azeem dan Shereen Samson Vallabouy ke Paris 2024 dijangka diputuskan KOM pada Rabu.

Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim berkata badan induk itu perlu membuat penilaian lebih mendalam berhubung perkara tersebut.

Sementara itu dalam acara akhir 100 meter lelaki Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024 di Lapangan Atletik FIK Universitas Negeri Surabaya (UNIESA), pelari kelahiran Teluk Intan, Perak tersebut meraih pingat perak dengan catatan masa 10.37 saat.

Pingat emas dan gangsa dimenangi wakil Indonesia, Lalu Muhamad Zohri dengan catatan masa 10.19s serta Jaelani Fatah Sidik (10.59s).

“Satu larian yang baik walaupun sejujurnya bukan penamat terbaik hari ini, namun saya bersyukur dapat menamatkan larian di podium walaupun bukan yang saya harap dapat diberikan untuk Malaysia.

“Mungkin rezeki saya hanya untuk berada di kedudukan kedua, alhamdulillah saya akan bawa momentum positif ini untuk larian 4x100m esok (Rabu) dan 200m,” katanya.

AUG SURABAYA MALANG 2024

HARI KETUJUH

PUNGUTAN PINGAT

4 emas | 6 perak | 4 gangsa

PUNGUTAN PINGAT KESELURUHAN

18 emas | 23 perak | 32 gangsa

PINGAT EMAS

QUEENIE TING KUNG NI

(UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA )

Olahraga: Lempar Cakera Wanita

WEE YEE HERN ((UNIVERSITI MALAYA) /

NG QI XUAN (Taylor’s University)

Badminton:Beregu Campuran

WONG TIEN CI (Taylor’s University) / LIEW XUN (UNIVERSITI MALAYA)

Badminton: Beregu Lelaki

ANDRE ANUAR

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

Olahraga: Lompat Jauh Lelaki

PINGAT PERAK

HOOI SHAO HERNG (UCSI)

Badminton: Individu Lelaki

VALEREE SIOW ZI XUAN ((UNIVERSITI MALAYA) / LEE XIN JIE ((UNIVERSITI MALAYA)

Badminton: Beregu Wanita

NADIA AINA SYAZWANI ISHAK (POLITEKNIK TUANKU SYED SIRAJUDDIN)

Taekwondo: Kyorugi -Bawah 63kg Wanita

KAMAL FARHAN A. RAHMAN (UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA)

Olahraga: Lempar Cakera Lelaki

MANDY GOH LI (UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA)

Olahraga: 400m Berpagar Wanita

MUHAMAD AZEEM MOHD FAHMI (AUBURN UNIVERSITY)

Olahraga: 100m lelaki

PINGAT GANGSA

UNG YI XING (HELP University)

Badminton: Individu Wanita

JASON JUN WEI LOO (YPC INTERNATIONAL COLLEGE)

Taekwondo: Indv Lelaki

FRENYNILA SHERLY LUCIUS (UMS)

Olahraga: 400m Berpagar wanita

RUSLEM ZIKRY PUTRA ROSELI (UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA)

Olahraga: 400m Berpagar Lelaki

-Sinar Harian


Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
BAM sedia bantu Jin Wei – Michelle

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sedia memberikan bantuan diperlukan oleh pemain profesional wanita negara Goh Jin Wei dalam persiapannya menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Pengarah Pentadbiran Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai berkata, Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky sudah bertemu dengan pemain di rangking ke-33 dunia itu minggu lepas bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Kita pasti bantu Jin Wei. Tentang siapa dan bagaimana caranya, kejurulatihan dan sebagainya, Rexy akan bincang sebab dia adalah pengarah kejurulatihan kami. Secara teknikal, dia akan bincang dengan Jin Wei dan kita tidak ada masalah untuk bantu,” katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan Jin Wei tidak akan ditemani jurulatihnya, Nova Armada di Sukan Olimpik Paris 2024 susulan kuota kad akreditasi yang terhad dikeluarkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) selain akan menerima bimbingan daripada Rexy.

Sementara itu Michelle memaklumkan BAM hanya menerima lima kuota kad akreditasi yang akan digunakan Rexy, Tan Bin Shen (jurulatih beregu lelaki), Hoon Thien How (jurulatih beregu wanita), Nova Widianto (jurulatih beregu campuran) dan Wong Tat Meng (jurulatih perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia).

“Saya rasa kita perlu lihat (siapa yang akan berada di sisi Jin Wei di Paris) tapi jika saya tak salah, sesi perseorangan wanita bersama perseorangan lelaki. Jadi tiada jadual (bertindih) tapi nanti mereka (boleh bincang) di Paris,” katanya.

Terdahulu, pemain badminton negara yang sedang menjalani latihan simulasi Sukan Olimpik Paris 2024 menerima lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalan CDM Datuk Nicol David di ABM.

Nicol yakin Jin Wei dapat beraksi cemerlang dengan sokongan semua pihak terlibat selain memaklumkan keputusan jurulatih kepada pemain berkenaan akan dibuat pihak berkepentingan, serta percaya Institut Sukan Negara (ISN) akan memberi perkhidmatan terbaik untuk membantu atlet negara di temasya empat tahun sekali itu.

“Kita mempunyai pasukan ISN yang sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan. Di Sukan Olimpik juga akan ada pasukan perubatan yang terlibat, ambulans disediakan kerana itu adalah standard yang ditawarkan di temasya Olimpik,” katanya.

Semalam, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyemak semula protokol tindak balas kecemasannya susulan kematian pemain remaja China, Zhang Zhi Jie selepas rebah di gelanggang semasa Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, Ahad lepas. – Bernama

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia kuasai lontar peluru wanita AUG 2024

MALANG: Kem olahraga meneruskan momentum pada saingan hari kedua selepas menambah satu lagi pingat emas dan pingat perak menerusi acara lontar peluru wanita.

Lontaran sejauh 15.20m meter (m) membolehkan Nani Sahirah Maryata merangkul pingat emas pada aksi di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya (UNESA), pagi tadi.

Malaysia terus mendominasi acara lontar peluru wanita selepas pingat perak dimenangi Nurrul Ainin Syauqina Mohd Nor Azahar menerusi catatan 12.48m.

Sebagai rekod, ini pingat emas ketiga dari olahraga selepas Malaysia sudahpun memenangi dua pingat emas pada hari pertama acara olahraga membuka tirainya, semalam.

Ratu lempar cakera negara, Queenie Ting Kung Ni berjaya mempertahankan pingat emas dimenanginya di Ubon Ratchathani bagi edisi kali ini.

Pemegang rekod kebangsaan acara lempar cakera itu melakukan catatan 45.23m untuk meraih pingat emas di hadapan dua atlet tuan rumah, Nur Wahyu Aini (43.14m) dan Maria Aviliationo (42.47m).

Andre Anura Anuar kemudiannya meraih pingat emas dalam acara lompat jauh selepas mencatat lompatan terbaik 7.46 meter (m).

Kemenangan ini menyaksikan skuad negara mempertahankan pingat emas dalam acara terbabit yang sebelum ini dimenangi Lukman Hakim Ramlan di Ubon Ratchathani, dua tahun lalu.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Agong tingkatkan semangat atlet negara

KONTINJEN Malaysia yang bakal berangkat ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 meraih tonik terbaik selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan kata-kata semangat kepada barisan atlet negara di Istana Negara hari ini.

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, Baginda mengucapkan selamat maju jaya selain menyeru rakyat Malaysia mendoakan kecemerlangan atlet-atlet kebangsaan yang akan mewakili negara ke temasya berprestij itu.

“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet-atlet negara yang akan bertanding pada Sukan Olimpik 2024.

“Bersama-sama kita mendoakan kecemerlangan buat atlet-atlet yang mewakili negara ke temasya Olimpik dan Paralimpik,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Presiden Majlis Olimpik Malaysia,Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D. Shahriman.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan CDM Malaysia ke Paralimpik Paris, Datuk Subramaniam Raman Nair.

Secara keseluruhan, seramai 25 atlet kebangsaan akan mengambil bahagian pada Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirainya bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini dalam misi memburu pingat emas pertama negara di pentas berkenaan.

Bagi Paralimpik Paris, seramai 20 atlet akan menggalas tanggungjawab negara pada saingan yang dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September depan.-Kosmo

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS PENYERAHAN JALUR GEMILANG KONTINJEN MALAYSIA KE TEMASYA SUKAN OLIMPIK DAN PARALIMPIK PARIS 2024

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kedua-dua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024.

Majlis yang berlangsung di Istana Negara itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh; Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Mohamad Norza Zakaria; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shariman dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.

Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris diketuai Chef de Mission, Datuk Hamidin Mohd Amin, manakala Datuk R.Subramaniam akan mengetuai Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Paris.

Setakat ini 25 atlet dari 8 jenis sukan telah mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Paris yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.

Manakala 20 atlet dari 6 jenis sukan telah layak secara merit ke Sukan Paralimpik Paris yang akan membuka tirai pada 28 Ogos hingga 8 September 2024.

Majlis Sukan Negara Malaysia