KUALA LUMPUR: Beregu utama lelaki negara diundi bertemu lawan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada aksi suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024, esok.
Di atas kertas, daripada 11 pertemuan sebelum ini, rekod kemenangan jelas memihak kepada Aaron-Wooi Yik dengan 8-3 dan biar pun begitu, gandingan yang kini berada di ranking ketiga dunia itu tidak seharusnya memandang mudah prestasi lawan.
Ini memandangkan Rankireddy-Shetty berjaya mengatasi Aaron-Wooi Yik pada tiga pertemuan terakhir iaitu di Terbuka Indonesia 2023, Sukan Asia Hangzhou dan Terbuka India pada Januari lalu.
Rankireddy-Shetty tampak semakin menunjukkan kebangkitan sejak kebelakangan ini termasuk muncul juara Kumpulan C Paris 2024 yang turut disertai beregu ketujuh dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Aaron-Wooi Yik pula muncul naib juara Kumpulan A di belakang beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang yang menewaskan mereka 22-24, 14-21 semalam.
Sebelum itu beregu negara itu memulakan kempen dengan menewaskan beregu nombor 18 dunia dari Great Britain Ben Lane-Sean Vendy 19-21, 21-16, 21-11 sebelum mengesahkan tiket suku akhir dengan menyingkirkan wakil Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura 21-10, 21-15.
BH Sukan hari ini melaporkan Aaron-Wooi Yik percaya percaturan taktikal yang tepat menjadi elemen utama untuk mereka berdepan beregu utama dunia yang lain.
Malah, gandingan itu turut percaya kekalahan di tangan Wei Keng-Chang akan dijadikan iktibar untuk mereka tampil dengan permainan yang lebih tersusun.
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik berjaya memenangi pingat gangsa ketika penampilan pertama mereka di Olimpik Tokyo selepas menewaskan gandingan berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.-Berita Harian