KERAJAAN Terengganu akan memberikan insentif kemenangan lebih baik berbanding tahun sebelum ini untuk skuad kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu sekiranya meraih juara keseluruhan pada temasya kali ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian insentif itu akan diumumkan selepas menilai prestasi pemain yang akan bertanding pada temasya Sukma 2024 di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 Ogos depan.
“Berbeza untuk kali ini sebab saya tidak akan sebut jumlah (insentif) tetapi ada. Saya sendiri akan turun ke Sarawak untuk melihat atlet-atlet bertanding.
“Saya akan nilai kesungguhan atlet-atlet ini bertanding dan akan memerhatikan bersungguh atau tidak atlet itu bertanding.
Ahmad Samsuri ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Sukma Terengganu 2024
“Kalau bersungguh bertanding dan kita menjadi juara. Insya-ALLAH…ganjarannya akan lebih baik berbanding tahun sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Sukma Terengganu 2024 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.
Pada majlis tersebut, Ahmad Samsuri turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera kontinjen Sukma Terengganu sebagai tanda penyerahan mandat daripada kerajaan negeri kepada kontinjen untuk bertanding pada Sukma 2024 di Sarawak.
Kontinjen Terengganu mensasarkan kutipan pingat keseluruhan sebanyak 76 emas, 36 perak dan 106 gangsa pada temasya kali ini.
Acara sukan berbasikal, pelayaran dan beberapa acara sukan tempur bakal menjadi sandaran utama bagi kontinjen Terengganu untuk meraih pingat.
Kekuatan kontinjen Terengganu melibatkan penyertaan 568 orang atlet terdiri daripada 349 lelaki dan 219 wanita.
Daripada jumlah keseluruhan atlet, hanya 30 peratus merupakan atlet yang pernah bertanding di temasya Sukma sebelum ini manakala selebihnya adalah atlet yang baharu pertama kali menyertai Sukma.
Terengganu pernah merekodkan gelaran naib juara dalam sukan yang sama apabila mengumpul 64 emas, 49 perak dan 55 gangsa menerusi temasya Sukma edisi ke-20 atau dikenali sebagai Sukma edisi XX di Kuala Lumpur pada 2022.-Sinar Harian