Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KONTINJEN MALAYSIA ANGGUN DAN KACAK BERGAYA PADA UPACARA PERASMIAN PEMBUKAAN SUKAN OLIMPIK PARIS 2024

Hujan tidak menjadi halangan buat Kontinjen Malaysia untuk tampil mempersona menggayakan busana ‘The Malaya’ pada acara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024.

Kontinjen Malaysia diwakili enam atlet dan empat pegawai dengan penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif menggalas tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Bertrand dan Nur Shazrin turut disertai Nur Dhabitah Sabri (terjun), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Ashley Lau (golf) dan Tan Rouxin (renang) di atas bot yang turut membawa delegasi dari Malawi dan Maldives itu.

Atlet wanita memakai baju kurung songket dengan kelubung manakala atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga turut disertai Chef de Mission, Datuk Hamidin Mohd Amin, bersama timbalannya Datuk Nicol David, serta ketua perubatan kontinjen, Dr Jasmiza Khuzairi Jasme dan pegawai keselamatan Majlis Olimpik Malaysia, Ang Li Pei.

Paris 2024 menyaksikan temasya Olimpik kembali ke kota itu, 100 tahun selepas kali pertama menganjurkan Olimpik pada tahun 1900 dan kemudian pada tahun 1924.

Ibu kota Perancis itu menjadi kota kedua menganjurkan Olimpik sebanyak tiga kali, selepas London pada tahun 1908, 1948, dan 2012.