Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Syaqiera mulakan aksi di kedudukan ke-14 terbaik

KUALA LUMPUR: Pemanah wanita negara, Syaqiera Mashayikh memulakan kempen Sukan Olimpik Paris 2024 dengan positif apabila mengakhiri saingan penentuan ranking individu di kedudukan ke-14 daripada 64 peserta.

Lebih manis, Syaqiera yang membuat penampilan kedua di Paris 2024 selepas Tokyo 2020 berjaya mencipta catatan peribadi baharu dengan 663 mata di Invalides.

Dua pemanah dari Korea Selatan, Lim Sihyeon dan Nam Suhyeon mengungguli saingan apabila masing-masing berada di ranking pertama dan kedua dengan catatan 694 dan 688 mata.

Sihyeon turut mencipta rekod dunia baharu sekali gus memadam rekod 692 mata rakan senegaranya, Kang Chaeyoung yang dilakukan pada 2019.

Dalam pada itu, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi menamatkan saingan di tempat ke-50 dengan 633 mata manakala Nurul Azreena Mohamad Fazil mengumpul 622 mata untuk berada di ranking ke-60.

Pusingan ranking individu ini adalah untuk menentukan kedudukan bagi pusingan kalah mati yang dijadual bermula pada Selasa ini.

Pemanah yang menduduki ranking teratas akan bertemu dengan pemanah di kedudukan tercorot pada pusingan kalah mati menuju ke final.

Bagi acara berpasukan, trio menamatkan saingan ranking di kedudukan ke-10 daripada 12 negara dengan mengumpul 1918 mata dan dijadual bertemu Indonesia pada aksi saringan 1/8 pada Ahad ini.

Korea Selatan berada di ranking pertama dengan 2046 sekali gus memperbaharui rekod mereka 2032 mata di Tokyo 2020 manakala China di kedudukan kedua, 1996 mata.-Berita Harian