KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia mengakui dapat kembali bangkit daripada ‘detik sukar’ dialaminya tahun lalu yang menyaksikan kedudukan ranking turun mendadak.
Zii Jia berkata, dirinya seakan keliru dengan prestasinya pada ketika itu sehingga kedudukan rankingnya yang pada satu ketika berada dalam kelompok dua terbaik turun sehingga ke kelompok 17 terbaik dunia.
“Bermula tahun lalu, saya fikir ia adalah salah satu detik paling sukar dalam karier saya. Ranking saya turun hampir ke-17 atau 16 dari kelompok dua terbaik dunia.
“Saya fikir pada masa itu, saya agak keliru yang mungkin saya tak akan layak ke Sukan Olimpik. Saya mengalami pelbagai masalah dengan gaya permainan saya dan juga keyakinan diri.
DISYORKAN UNTUK ANDA
- Zii Jia dapat laluan mudah saingan awal Olimpik
- Zii Jia fokus misi Olimpik Paris
- ‘Perjuangan sebenar Zii Jia menentang diri sendiri’
- Menanti Zii Jia ‘smash’ pengkritik
- Mesej Chong Wei
- Aaron-Wooi Yik, Zii Jia sandaran emas
- ‘Hargai peluang wakili negara’
- Nishimoto sekat Zii Jia
“Pada tahun lalu (Terbuka Indonesia), selepas tewas di pusingan pertama, saya berkata ‘saya perlu berehat seketika, berhenti seketika’, saya fikir saya perlu cari kembali keseronokan dalam badminton.
“Banyak yang berlaku pada masa itu,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi rakaman video yang dimuat naik di Youtube badan induk itu.
Zii Jia mengharungi detik suram tahun lalu apabila berdepan prestasi tidak menentu sehingga kedudukan rankingnya jatuh merudum namun berjaya menunjukkan kebangkitan dengan kini berada di ranking ketujuh dunia.
“Namun apabila saya imbau kembali, ia satu pengalaman berharga buat saya dan ia satu cabaran besar buat saya sendiri. Saya berjaya mengatasinya,” katanya.
Zii Jia bakal membuat penampilan keduanya di Olimpik di Paris 2024 dan diundi dalam Kumpulan G bersama Pablo Abian (Sepanyol) dan Viren Nettasinghe (Sri Lanka).
Badminton dijadual berlangsung di Arena Porte de la Chapelle dari 27 Julai hingga 5 Ogos ini.-Berita Harian