PARIS: Kehadiran keluarga telah menyemarakkan lagi semangat pemanah muda negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi apabila turun beraksi dengan sasaran memperbaiki rekod kebangsaannya dalam acara recurve wanita Sukan Olimpik Paris 2024, esok.
Atlet berusia 19 tahun itu membuat penampilan sulung Olimpik dan bakal beraksi pada pusingan penentuan ranking individu di Invalides, berlatarkan monumen bersejarah dan museum Perancis.
Bercakap kepada Bernama semasa sesi latihan rasmi di venue pertandingan, Ariana Nur Dania berkata, kesemua ahli keluarganya telah tiba di sini pada Selasa untuk memberikan sokongan kepadanya.
“Kehadiran ibu bapa, kakak serta abang telah meningkatkan semangat saya untuk capai keputusan yang lebih baik kerana mereka datang dari jauh. Saya mengambilnya sebagai motivasi buat saya esok.
“Harapan untuk pecahkan rekod kebangsaan lagi itu ada, tetapi tidak terlalu tertekan kerana tahu prestasi semasa dan kaedah latihan. Kalau ada rezeki, kita (pasukan memanah wanita) adalah pingat, tapi yang penting kita dah beri prestasi terbaik kita,” katanya.
Ariana Nur Dania sebelum ini berjaya mencatatkan rekod 669 mata pada kejohanan Kelayakan Olimpik di Antalya, Turkiye, mengatasi rekod terdahulunya, 649 mata pada pusingan Kelayakan Asia di Bangkok, Thailand, tahun lepas.
Mengulas mengenai cabaran di Paris, beliau berkata telah berjaya menyesuaikan dengan keadaan cuaca dan angin sejuk di sini selepas beberapa sesi latihan sejak Sabtu lalu.
“Mula-mula agak mencabar kerana keadaan angin agak mencabar, di sini lebih kuat dan ke satu arah pada satu masa (berbanding Malaysia yang kiri, kanan). Tetapi semalam dah serasi dan tahu apa yang boleh dijangkakan.
“Apabila hadir ke pentas Olimpik, memang boleh merasa perbezaan berbanding kejohanan lain seperti Piala Dunia kerana slot Olimpik adalah terhad dan pastinya ada nama-nama besar,” katanya.
Beliau berkata rakan sepasukan Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh, yang turut beraksi dalam acara individu dan berpasukan wanita pada Ahad ini berada pada keadaan positif untuk membuka cabaran negara, esok.
Seramai 64 pemanah yang layak bagi acara recurve akan beraksi dalam pusingan ranking esok untuk menentukan kedudukan bagi pusingan kalah mati yang bermula pada Selasa depan.
Pemanah yang menduduki ranking teratas akan bertemu dengan pemanah di kedudukan tercorot pada pusingan kalah mati menuju ke final. – BERNAMA