Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Johnathan sasar lepasi kelayakan dahulu

KUALA LUMPUR: Jurulatih menembak kebangsaan, Firdaus Abdul Rahim menyifatkan penembak negara, Johnathan Wong Guanjie berada di landasan tepat menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Johnathan bakal membuat penampilan keduanya di temasya terbesar dunia itu selepas di Rio 2016 dan segala perancangan yang dilakukan kali ini dianggap lebih baik berbanding edisi lapan tahun lalu.

“Saya sangat berharap John bersedia dan proses persediaan kali ini lebih baik daripada 2016 lalu. Saya harap John dapat buat seperti apa yang sudah dirancang.

“Kalau dilihat dari segi perancangan projek serta persembahannya, dia memang berada di landasan tepat,” kata Firdaus yang turut menyatakan misi utama mereka kini lebih tertumpu untuk melepasi peringkat kelayakan terlebih dahulu.

Firdaus turut berkata, Johnathan bakal memperoleh peluang untuk mencuba lapang sasar Chateauroux dan ia dianggap sebagai satu ruang untuk mencari keserasian sebelum hari pertandingan.

“Ada dua kali, jadi dia boleh gunakan ruang itu untuk perbaiki (prestasi) sebelum hari kelayakan,” kata Firdaus.

Johnathan dijadual menyertai acara 10 meter (m) air pistol yang dijadual membuka tirai saingan pada Sabtu ini.

Dalam persediaannya ke Paris, atlet berusia 31 tahun itu berjaya meraih pingat perak di Kejohanan Terbuka Denmark pada Februari lalu sebelum menyertai beberapa siri Piala Dunia termasuk di Baku, Azerbaijan dan Munich, Jerman, Jun lalu.

Pada edisi Rio 2016 yang juga penampilan sulungnya di Olimpik, Johnathan gagal layak ke final sebagai lapan terbaik selepas hanya menamatkan cabaran di tempat ke-28 daripada 46 peserta-Berita Harian