Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives July 24, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kehadiran keluarga semarak semangat Ariana Nur Dania

PARIS: Kehadiran keluarga telah menyemarakkan lagi semangat pemanah muda negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi apabila turun beraksi dengan sasaran memperbaiki rekod kebangsaannya dalam acara recurve wanita Sukan Olimpik Paris 2024, esok.

Atlet berusia 19 tahun itu membuat penampilan sulung Olimpik dan bakal beraksi pada pusingan penentuan ranking individu di Invalides, berlatarkan monumen bersejarah dan museum Perancis.

Bercakap kepada Bernama semasa sesi latihan rasmi di venue pertandingan, Ariana Nur Dania berkata, kesemua ahli keluarganya telah tiba di sini pada Selasa untuk memberikan sokongan kepadanya.

“Kehadiran ibu bapa, kakak serta abang telah meningkatkan semangat saya untuk capai keputusan yang lebih baik kerana mereka datang dari jauh. Saya mengambilnya sebagai motivasi buat saya esok.

“Harapan untuk pecahkan rekod kebangsaan lagi itu ada, tetapi tidak terlalu tertekan kerana tahu prestasi semasa dan kaedah latihan. Kalau ada rezeki, kita (pasukan memanah wanita) adalah pingat, tapi yang penting kita dah beri prestasi terbaik kita,” katanya.

Ariana Nur Dania sebelum ini berjaya mencatatkan rekod 669 mata pada kejohanan Kelayakan Olimpik di Antalya, Turkiye, mengatasi rekod terdahulunya, 649 mata pada pusingan Kelayakan Asia di Bangkok, Thailand, tahun lepas.

Mengulas mengenai cabaran di Paris, beliau berkata telah berjaya menyesuaikan dengan keadaan cuaca dan angin sejuk di sini selepas beberapa sesi latihan sejak Sabtu lalu.

“Mula-mula agak mencabar kerana keadaan angin agak mencabar, di sini lebih kuat dan ke satu arah pada satu masa (berbanding Malaysia yang kiri, kanan). Tetapi semalam dah serasi dan tahu apa yang boleh dijangkakan.

“Apabila hadir ke pentas Olimpik, memang boleh merasa perbezaan berbanding kejohanan lain seperti Piala Dunia kerana slot Olimpik adalah terhad dan pastinya ada nama-nama besar,” katanya.

Beliau berkata rakan sepasukan Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh, yang turut beraksi dalam acara individu dan berpasukan wanita pada Ahad ini berada pada keadaan positif untuk membuka cabaran negara, esok.

Seramai 64 pemanah yang layak bagi acara recurve akan beraksi dalam pusingan ranking esok untuk menentukan kedudukan bagi pusingan kalah mati yang bermula pada Selasa depan.

Pemanah yang menduduki ranking teratas akan bertemu dengan pemanah di kedudukan tercorot pada pusingan kalah mati menuju ke final. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PM ajak seluruh rakyat doakan kejayaan kontinjen Olimpik Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan kontinjen negara yang akan bersaing pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Anwar menerusi video yang dimuat naik di Facebook berharap atlet negara dapat menempa sejarah dan melakar prestasi yang baik pada temasya yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

“Kontinjen Malaysia ke Olimpik sudah pun berangkat dan sekarang membuat persediaan untuk bertarung. Kita rakyat Malaysia harus mendoakan sebaiknya buat kontinjen Malaysia dapat menempa sejarah, melakar satu prestasi yang baik dan menggondol hadiah yang mungkin kita perolehi.

“Jadi sama-sama kita mengikuti, menyaksi dan mendoakan, mudah-mudahan kontinjen Malaysia berjaya. Kita sama-sama ucapkan selamat maju jaya dan sukses kepada team MAS,” katanya.

Seramai 26 atlet Malaysia yang akan bersaing di Paris dengan misi utama untuk menjelmakan emas pertama negara dalam Sukan Olimpik.

“Ayuh seluruh rakyat Malaysia kita nyatakan sokongan padu buat kontinjen negara yang sedang menggalas misi merealisasikan impian emas pertama di temasya sukan Olimpik.

“Selamat maju jaya buat 26 atlet negara. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi langkah kalian di Paris, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri pada kapsyen video berkenaan.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Peluang emas cerah jika Aaron-Wooi Yik mampu ‘redah’ halangan separuh akhir

KUALA LUMPUR: Halangan sebenar beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Sukan Olimpik Paris 2024 adalah apabila bakal berdepan tiga pasangan terbaik dunia di separuh akhir.

Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek berkata kemenangan di separuh akhir sekali gus melangkah ke final, memberikan bayangan kemungkinan besar Malaysia akan menamatkan penantian pingat emas pertama di temasya berprestij itu.

Bagi Razif, beregu negara yang menghuni ranking keempat dunia itu tidak menghadapi masalah melepasi saingan peringkat Kumpulan A walaupun pilihan utama dari China Liang Wei Keng-Wang Chang dijangka menjadi halangan terbesar mereka.

“Pada pandangan saya, mereka pasangan tunggal yang boleh bawa pingat untuk negara.

“Saya lihat laluan mereka ke suku akhir tiada masalah. Jika tiada halangan saya rasa Aaron-Wooi Yik boleh bawa balik emas namun ia bergantung kepada keputusan di separuh akhir,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Razif, jika juara dunia 2022 itu berjaya menempah tiket separuh akhir, selain Wei Keng-Wang Chang, dua lagi beregu di ranking utama dunia perlu ‘diredah’ iaitu Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India dan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia) sebelum berada dalam pertarungan sebenar perburuan pingat emas.

Turunnya keempat-empat pasangan itu di gelanggang Porte de la Chapelle Arena, pastinya akan menghangatkan lagi aksi separuh akhir acara badminton di Paris 2024.

Berdasarkan rekod pasangan negara, Aaron-Wooi Yik pernah mencatat dua kemenangan berdepan wakil China, menang lapan daripada 11 pertemuan dengan Satwiksairaj-Chirag dan empat kemenangan daripada lapan perlawanan berdepan Fajar-Muhammad Rian.

Razif yang muncul wakil pertama negara meraih pingat di Sukan Olimpik bersama adiknya Datuk Jalani Sidek di Barcelona 1992 itu berkata, selain lawan, tahap kecergasan juga menjadi penentuan perjalanan Aaron-Wooi Yik di Paris kelak.

“Dari segi cara permainan saya rasa tidak menjadi masalah cuma kekurangan mereka adalah kecergasan. Jika dapat mengekalkan tahap kecergasan yang tinggi, darjah keyakinan mereka juga akan meningkat,” katanya.

Aaron-Wooi Yik diundi dalam Kumpulan A bersama Wei Keng-Wang Chang, Ben Lane-Sean Vendy (England) dan Adam Dong-Nyl Yakura (Kanada).

Berdasarkan format perlawanan, hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke suku akhir.

Sementara itu, Razif turut memuji strategi diatur Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mengadakan perlawanan simulasi selain mewujudkan suasana seolah-olah dalam gelanggang di Paris 2024, di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

Selain itu, BAM juga mengatur kem latihan fasa akhir selama seminggu di Lille, kira-kira 219 kilometer (km) dari Paris minggu lepas, sebelum atlet memasuki perkampungan sukan di ibu negara Perancis, pada Isnin.

Turut membawa cabaran Malaysia di Sukan Olimpik kali ini ialah beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah, beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta dua pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia (lelaki) dan Goh Jin Wei (wanita).

Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KURSUS BASIC LIFE SUPPORT SIRI 2 – 2024

Kursus Basic Life Support Siri 2 telah diadakan pada 24 Julai 2024 bertempat di Hotel Imperial Heritage, Melaka.

Seramai 39 orang jurulatih telah terlibat dalam kursus yang dianjurkan oleh Bahagian Bakat dan Pembangunan Wanita, MSN dengan kerjasama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK), ISN.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Ranking jatuh pengalaman berharga buat Zii Jia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia mengakui dapat kembali bangkit daripada ‘detik sukar’ dialaminya tahun lalu yang menyaksikan kedudukan ranking turun mendadak.

Zii Jia berkata, dirinya seakan keliru dengan prestasinya pada ketika itu sehingga kedudukan rankingnya yang pada satu ketika berada dalam kelompok dua terbaik turun sehingga ke kelompok 17 terbaik dunia.

“Bermula tahun lalu, saya fikir ia adalah salah satu detik paling sukar dalam karier saya. Ranking saya turun hampir ke-17 atau 16 dari kelompok dua terbaik dunia.

“Saya fikir pada masa itu, saya agak keliru yang mungkin saya tak akan layak ke Sukan Olimpik. Saya mengalami pelbagai masalah dengan gaya permainan saya dan juga keyakinan diri.

DISYORKAN UNTUK ANDA

“Pada tahun lalu (Terbuka Indonesia), selepas tewas di pusingan pertama, saya berkata ‘saya perlu berehat seketika, berhenti seketika’, saya fikir saya perlu cari kembali keseronokan dalam badminton.

“Banyak yang berlaku pada masa itu,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi rakaman video yang dimuat naik di Youtube badan induk itu.

Zii Jia mengharungi detik suram tahun lalu apabila berdepan prestasi tidak menentu sehingga kedudukan rankingnya jatuh merudum namun berjaya menunjukkan kebangkitan dengan kini berada di ranking ketujuh dunia.

“Namun apabila saya imbau kembali, ia satu pengalaman berharga buat saya dan ia satu cabaran besar buat saya sendiri. Saya berjaya mengatasinya,” katanya.

Zii Jia bakal membuat penampilan keduanya di Olimpik di Paris 2024 dan diundi dalam Kumpulan G bersama Pablo Abian (Sepanyol) dan Viren Nettasinghe (Sri Lanka).

Badminton dijadual berlangsung di Arena Porte de la Chapelle dari 27 Julai hingga 5 Ogos ini.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Johnathan sasar lepasi kelayakan dahulu

KUALA LUMPUR: Jurulatih menembak kebangsaan, Firdaus Abdul Rahim menyifatkan penembak negara, Johnathan Wong Guanjie berada di landasan tepat menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Johnathan bakal membuat penampilan keduanya di temasya terbesar dunia itu selepas di Rio 2016 dan segala perancangan yang dilakukan kali ini dianggap lebih baik berbanding edisi lapan tahun lalu.

“Saya sangat berharap John bersedia dan proses persediaan kali ini lebih baik daripada 2016 lalu. Saya harap John dapat buat seperti apa yang sudah dirancang.

“Kalau dilihat dari segi perancangan projek serta persembahannya, dia memang berada di landasan tepat,” kata Firdaus yang turut menyatakan misi utama mereka kini lebih tertumpu untuk melepasi peringkat kelayakan terlebih dahulu.

Firdaus turut berkata, Johnathan bakal memperoleh peluang untuk mencuba lapang sasar Chateauroux dan ia dianggap sebagai satu ruang untuk mencari keserasian sebelum hari pertandingan.

“Ada dua kali, jadi dia boleh gunakan ruang itu untuk perbaiki (prestasi) sebelum hari kelayakan,” kata Firdaus.

Johnathan dijadual menyertai acara 10 meter (m) air pistol yang dijadual membuka tirai saingan pada Sabtu ini.

Dalam persediaannya ke Paris, atlet berusia 31 tahun itu berjaya meraih pingat perak di Kejohanan Terbuka Denmark pada Februari lalu sebelum menyertai beberapa siri Piala Dunia termasuk di Baku, Azerbaijan dan Munich, Jerman, Jun lalu.

Pada edisi Rio 2016 yang juga penampilan sulungnya di Olimpik, Johnathan gagal layak ke final sebagai lapan terbaik selepas hanya menamatkan cabaran di tempat ke-28 daripada 46 peserta-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia