Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Peluang badang Segamat cari gemilang di Paris

KUALA LUMPUR: Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan boleh mencipta sejarah manis di Perancis sekiranya berjaya menjelmakan kilauan pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Seandainya hasrat itu menjadi kenyataan, badang berasal dari Segamat, Johor itu akan muncul sebagai atlet angkat berat Malaysia pertama memenangi pingat pada temasya itu.

Ia kerana, Malaysia tidak pernah memenangi pingat Olimpik dalam acara angkat berat manakala atlet terakhir negara beraksi di temasya itu ialah Mohd Hafifi Mansor pada edisi Rio 2016 dalam kategori 69kg.

Aniq yang akan bersaing dalam kategori 61 kilogram (kg) bagaimanapun tidak akan berdepan tugas mudah di Paris dengan dia dilihat perlu melakukan angkatan melebihi 300 kg bagi mencerahkan peluang menaiki pentas podium.

DISYORKAN UNTUK ANDA

Jangkaan itu dibuat berdasarkan keputusan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Kejohanan Dunia di Phuket, Thailand pada April lalu.

Ketika Tokyo 2020, Li Fabin dari China memenangi pingat emas dengan angkatan 313kg, manakala atlet Indonesia, Eko Yuli Irawan (302kg) dan Igor Son dari Kazakhstan (294kg) masing-masing meraih perak dan gangsa.

Kejohanan Piala Dunia pula menyaksikan Fabin mengungguli kategori 61kg dengan angkatan keseluruhan 312kg, Hampton Morris dari Amerika Syarikat (AS) merangkul perak (303kg) dan Pak Myong Jin dari Korea Utara meraih gangsa (301kg).

Justeru, selain Fabin dan Yuli Irawan, Aniq turut akan berdepan pencabar kuat lain termasuk Morris dan Theerapong Silachai dari Thailand.

“Thailand dan AS memang mereka antara pencabar utama. Majoriti yang ke Olimpik ramai dari Asia Tenggara, jadi memang selalu jumpa mereka dan sudah tahu mereka memang pencabar sengit,” kata Aniq.

Aniq boleh dianggap tidak berdepan tekanan besar dengan dia perlu memberikan fokus terbaik menjelang temasya di Paris dan impian untuk melakar kejutan tidak mustahil buat badang berusia 22 tahun itu.

Sebagai rekod, angkatan terbaik terbaik Aniq yang juga rekod kebangsaan adalah 296kg yang dilakukannya di Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Doha, Qatar tahun lalu.

Malah, badang berusia 22 tahun itu juga mengakui bahawa jika dia berjaya melakukan angkatan 305kg pada hari pertandingan, dia berpeluang untuk memenangi pingat.

Aniq ke Antalya, Turkiye bagi menjalani kem latihan akhir selama dua minggu sebelum beraksi di Paris dengan acaranya dijadual berlangsung pada 7 Ogos depan.

INFO

Angkat berat

Venue: Paris Expo Porte de Versailles

Tarikh pertandingan: 7 – 11 Ogos

Atlet: Mohammad Aniq Kasdan

Umur: 22 tahun (16 Jun 2002)

Tempat lahir: Segamat, Johor

Pencapaian:

IWF Grand Prix (Qatar 2023) – Pingat Gangsa (61 kg)

Sukan Komanwel (Birmingham 2022) – Pingat Emas (55 kg)

Kejohanan Komanwel 2022 (Tashkent 2021) – Pingat Emas (55 kg)

Sukan SEA (Hanoi 2021) – Pingat Gangsa (55 kg)

-Berita Harian