Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Johor sedia pertahan gelaran juara Sukma – Pandak

Iskandar Puteri: Kontinjen Johor menyahut cabaran untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak, bulan depan, walaupun sukan kanu yang menjadi lubuk emas tidak dipertandingkan.

Chef de Mission (CDM) Johor, Datuk Pandak Ahmad berkata, pada edisi 2022 di Kuala Lumpur, Johor memperoleh 25 pingat emas menerusi sukan kanu, namun acara berkenaan tidak diadakan di Sarawak apabila temasya bermula 17 Ogos depan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tetap menyasarkan kedudukan kelompok tiga terbaik dengan sasaran 60 kilauan emas dengan acara olahraga, memanah, silat dan tinju menjadi sasaran lubuk emas.

“Seramai 599 atlet menjadi taruhan Johor untuk Sukma ke-21 dan dijangka akan berlepas ke Sarawak pada 16 Ogos dan pasukan bola sepak berlepas lebih awal pada 11 Ogos.

“Perkampungan bagi kontinjen Johor terletak di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kuching dengan 12 acara dipertandingkan di Miri, Mukah, Betong dan Bintulu,” katanya.

Pandak berkata, semua pengurus pasukan harus memainkan peranan penting terutama mempersiapkan atlet Johor.

Beliau berkata, persiapan dari segi mental dan fizikal atlet Johor sangat penting selain semangat kesukanan dan disiplin yang tinggi untuk berjuang atas nama negeri Johor.

“Kami berpuas hati dengan segala persiapan yang dilakukan selepas melakukan tinjauan di setiap pusat latihan sukan bagi memantau perkembangan semasa prestasi atlet kontinjen Johor.

“Walaupun cabaran kontinjen Johor kali ini agak berat kerana hadir sebagai juara bertahan, dengan kerjasama semua pihak, tidak mustahil kita dapat menjadikannya sebagai kenyataan,” katanya.-Harian Metro