Dua pemain catur negara muncul juara di Taiwan

Kuala Lumpur: Dua pemain catur negara berjaya membantu Malaysia untuk muncul juara keseluruhan Kejohanan Catur Jemputan Antarabangsa Naga Asia di National Taiwan University semalam.

Kedua-dua mereka, Haziq Nasruddin dan Iwan Schani Ibnu berjaya muncul juara dalam kategori masing-masing iaitu bawah 16 tahun dan terbuka.

Haziq Nasruddin berjaya mengutip mata keseluruhan tertinggi sebanyak 8.5 mata selepas mengalahkan pemain tuan rumah, Pu Yu pada pusingan kesembilan sekali gus mengesahkan kejuaraan mutlak milik Malaysia.

Bagi kategori terbuka pula menyaksikan perlawanan pada pusingan akhir yang cukup mendebarkan apabila pemain Malaysia, Iwan Schani terpaksa berhempas-pulas sebelum bergelar juara dengan menumpaskan lawannya, Jerry Chang daripada Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, Ketua Delegasi Pasukan Catur Malaysia, Noor Hafiz Mohd Nor menyifatkan prestasi cemerlang skuad negara turut disumbang pengenalan sulung sukan catur di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 pada Ogos depan.

Jelasnya, program Pemerkasaan Komuniti Catur Digital juga ternyata memberi impak positif kepada pembangunan bakat-bakat baharu.

Kata Hafiz, kemenangan itu juga penting sebagai persiapan pasukan negara ke Kejuaraan Chess Amatur Dunia FIDE di Greece pada Oktober depan.

“Saya juga berterima kasih atas sokongan pelbagai pihak yang banyak membantu persiapan bagi kejohanan ini khususnya Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Persekutuan Catur Malaysia (MCF), Pertubuhan Pemerkasaan Komuniti Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Jabatan Penerangan,” katanya.

Kejohanan tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Catur Taiwan (CTCA) menyaksikan pembabitan 34 peserta dari Macau, Hong Kong, Korea Selatan, Malaysia, AS dan tuan rumah, Taiwan.-Harian Metro