KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengimbau detik penampilan pertamanya di Sukan Olimpik Beijing 2008 sambil menyifatkan ia sebagai detik permulaan dalam perjalanannya di temasya terbesar dunia itu.
Pada penampilan di Beijing, Azizulhasni baru berusia 20 tahun selain diberi tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang bagi kontinjen negara yang disertai 32 atlet.
Pada edisi berkenaan, kontinjen negara membawa pulang satu pingat perak yang disumbangkan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei manakala Azizulhasni, menamatkan acara keirin perseorangan di tempat ke-10 keseluruhan dan kelapan dalam acara pecut perseorangan.
Azizulhasni atau dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ kemudian mempamerkan peningkatan dalam setiap penyertaan selepas itu dengan setakat ini, sudah memperoleh satu pingat perak di Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa di Rio 2016.
Kali ini, Azizulhasni, 36, bakal membuat penampilan kelima dan mungkin yang terakhirnya di Paris 2024 dengan membawa misi untuk membawa pulang kilauan pingat emas sulung buat negara.
“Penampilan pertama ke temasya di Beijing sebagai pembawa bendera untuk kontinjen negara di Stadium Sarang Burung (Bird’s Nest),” tulis Azizulhasni dalam hantarannya di media sosial.
“Berumur 20 tahun, tampil dengan penuh cita-cita yang tinggi untuk menjadi yang terbaik bukan hanya di Malaysia, bukan sahaja di rantau Asia, akan tetapi mahu menjadi yang terbaik di dunia.
“Apa yang saya tahu, waktu itu adalah sebuah permulaan kepada perjalanannya. Dan tidak pula saya tahu akan bagaimana pengakhirannya. Berbekalkan saiz badan biasa tetapi semangat yang luar biasa, saya mulakan segalanya.”
Kem berbasikal trek turut disertai Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri. Berbasikal trek dijadual berlangsung di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines dari 5 hingga 11 Ogos ini.-Berita Harian