Atlet ekuestrian negara teruja sambung belajar di UMK

JELI – Atlet ekuestrian negara, Anfal Insyirah Abu Talib, 18, menyambung pengajian peringkat asasi di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini.

Pemenang tempat kedua pada kejohanan Endurance Dunia FEI (Bawah 21 & ke bawah) di Ermelo, Belanda itu melapor diri di kampus UMK Jeli pada Selasa.

Anfal Insyirah berkata, beliau gembira dan teruja kerana terpilih dalam kalangan 14,000 permohonan yang diterima untuk melanjutkan pengajian di UMK.

“Saya amat gembira kerana UMK merupakan pilihan pertama dalam permohonan. Saya bercita-cita untuk menjadi doktor perubatan veterinar dan mewakili UMK ke peringkat dunia dalam sukan kuda lasak sekiranya diberi peluang.

“Saya akan mengikuti pengajian Asasi Sains di Kampus Jeli dan bukan satu masalah untuk menumpukan perhatian kepada kedua-dua bidang iaitu akademik serta sukan berkuda,” katanya kepada pemberita pada Hari Pendaftaran Pelajar Asasi Baharu Semester 2024/2025, di Dewan Utama, UMK Kampus Jeli, di sini.

Atlet ekuestrian negara, Anfal Insyirah menyambung pengajian peringkat asasi di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli.

Atlet ekuestrian negara, Anfal Insyirah menyambung pengajian peringkat asasi di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli.

Sementara itu, Ketua Jabatan Sains Pusat Pengajian Asasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK-AsCent), Dr Aainaa Syazwani Mohamad Amir Hamzah berkata, seramai 315 pelajar baharu sesi 2024/2025 mendaftar bagi mengikuti program Asasi Sains dan Asasi Teknologi Maklumat Huffaz di UMK Kampus Jeli.

Menurut beliau, UMK-AsCent dapat mengekalkan jumlah pelajar yang mendaftar pada sesi kali ini sepertimana jumlah yang diterima pada sesi lepas.

“Alhamdulillah kita dapat mengekalkan populariti program Asasi Sains seperti tiga tahun sebelum ini apabila menerima permohonan sebanyak 14,000 pada sesi ini daripada pelajar lepasan SPM.

“Namun, selepas proses pemilihan dilakukan seramai 315 pelajar baharu hadir mendaftar pada hari ini yang sebahagian besarnya akan mengikuti program pengajian Asasi Sains di UMK Kampus Jeli,” katanya.-Sinar Harian