Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives July 23, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Rakyat Malaysia berkobar-kobar nantikan Olimpik Paris

KUALA LUMPUR: Satu kajian yang diadakan baru-baru ini mendapati bahawa terdapat keterujaan yang luar biasa dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengikuti perkembangan Sukan Olimpik Paris 2024.

Ipsos dalam satu kenyataan memaklumkan hasil kajian itu berdasarkan kepada kaji selidik secara bersemuka dengan 500 orang dewasa 18 tahun ke atas dan juga secara dalam talian terhadap 24,531 orang dewasa di bawah umur 75 tahun, di 33 buah negara dari 24 Mei hingga 7 Jun 2024.

Dalam kenyataan medianya, Pengarah Urusan Ipsos Malaysia, Arun Menon berkata 73 peratus daripada rakyat Malaysia, percaya Sukan Olimpik Paris perlu terus diadakan tanpa mengira keadaan ekonomi dunia dan konflik yang berlaku.

“Dua daripada tiga rakyat Malaysia yang ditemui memaklumkan mereka berminat dengan sukan itu, iaitu satu angka yang 57 peratus lebih tinggi daripada dapatan kajian di negara-negara lain.

“Bagi rakyat Malaysia, Sukan Olimpik Paris bukan hanya satu acara sukan. Lapan daripada 10 rakyat Malaysia, melihatnya sebagai sesuatu untuk mewujudkan perpaduan, kemegahan dan inspirasi untuk generasi akan datang melibatkan diri dalam sukan,” katanya.

Arun berkata, Sukan Olimpik Paris mempunyai kesan positif dan penyatuan dalam kalangan rakyat Malaysia dan keterujaan rakyat negara ini terhadap temasya itu amat tinggi.

“Oleh itu, Sukan Olimpik Paris tidak seharusnya terhenti akibat peperangan dan konflik yang sedang berlaku,” katanya.

Arun berkata, kajian juga mendapati badminton menjadi sukan yang paling dinantikan rakyat Malaysia, dengan 58 peratus menyatakan minat yang tinggi, mengatasi purata global 28 peratus.

Selain itu, bola sepak juga berada pada kedudukan tinggi, dengan 35 peratus rakyat Malaysia menunjukkan minat, berbanding purata 28 peratus di seluruh negara lain.

Sukan Olimpik Paris 2024, yang dijadualkan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos, akan menjadi Sukan Olimpik pertama sejak pandemik COVID-19. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Peluang badang Segamat cari gemilang di Paris

KUALA LUMPUR: Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan boleh mencipta sejarah manis di Perancis sekiranya berjaya menjelmakan kilauan pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Seandainya hasrat itu menjadi kenyataan, badang berasal dari Segamat, Johor itu akan muncul sebagai atlet angkat berat Malaysia pertama memenangi pingat pada temasya itu.

Ia kerana, Malaysia tidak pernah memenangi pingat Olimpik dalam acara angkat berat manakala atlet terakhir negara beraksi di temasya itu ialah Mohd Hafifi Mansor pada edisi Rio 2016 dalam kategori 69kg.

Aniq yang akan bersaing dalam kategori 61 kilogram (kg) bagaimanapun tidak akan berdepan tugas mudah di Paris dengan dia dilihat perlu melakukan angkatan melebihi 300 kg bagi mencerahkan peluang menaiki pentas podium.

DISYORKAN UNTUK ANDA

Jangkaan itu dibuat berdasarkan keputusan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Kejohanan Dunia di Phuket, Thailand pada April lalu.

Ketika Tokyo 2020, Li Fabin dari China memenangi pingat emas dengan angkatan 313kg, manakala atlet Indonesia, Eko Yuli Irawan (302kg) dan Igor Son dari Kazakhstan (294kg) masing-masing meraih perak dan gangsa.

Kejohanan Piala Dunia pula menyaksikan Fabin mengungguli kategori 61kg dengan angkatan keseluruhan 312kg, Hampton Morris dari Amerika Syarikat (AS) merangkul perak (303kg) dan Pak Myong Jin dari Korea Utara meraih gangsa (301kg).

Justeru, selain Fabin dan Yuli Irawan, Aniq turut akan berdepan pencabar kuat lain termasuk Morris dan Theerapong Silachai dari Thailand.

“Thailand dan AS memang mereka antara pencabar utama. Majoriti yang ke Olimpik ramai dari Asia Tenggara, jadi memang selalu jumpa mereka dan sudah tahu mereka memang pencabar sengit,” kata Aniq.

Aniq boleh dianggap tidak berdepan tekanan besar dengan dia perlu memberikan fokus terbaik menjelang temasya di Paris dan impian untuk melakar kejutan tidak mustahil buat badang berusia 22 tahun itu.

Sebagai rekod, angkatan terbaik terbaik Aniq yang juga rekod kebangsaan adalah 296kg yang dilakukannya di Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Doha, Qatar tahun lalu.

Malah, badang berusia 22 tahun itu juga mengakui bahawa jika dia berjaya melakukan angkatan 305kg pada hari pertandingan, dia berpeluang untuk memenangi pingat.

Aniq ke Antalya, Turkiye bagi menjalani kem latihan akhir selama dua minggu sebelum beraksi di Paris dengan acaranya dijadual berlangsung pada 7 Ogos depan.

INFO

Angkat berat

Venue: Paris Expo Porte de Versailles

Tarikh pertandingan: 7 – 11 Ogos

Atlet: Mohammad Aniq Kasdan

Umur: 22 tahun (16 Jun 2002)

Tempat lahir: Segamat, Johor

Pencapaian:

IWF Grand Prix (Qatar 2023) – Pingat Gangsa (61 kg)

Sukan Komanwel (Birmingham 2022) – Pingat Emas (55 kg)

Kejohanan Komanwel 2022 (Tashkent 2021) – Pingat Emas (55 kg)

Sukan SEA (Hanoi 2021) – Pingat Gangsa (55 kg)

-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sepak takraw mungkin kembali berada dalam sukan teras

PUTRAJAYA: Ada sinar buat sukan sepak takraw untuk kembali berada dalam senarai sukan teras selepas digugurkan pada 2017.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi bayangan yang Majlis Sukan Negara (MSN) dijangka akan membuat keputusan berkenaan selepas Sukan Olimpik Paris 2024 menutup tirainya pada pertengahan Ogos ini.

“Kenapa sukan teras? Kerana sukan sepak takraw cukup popular di kalangan semua komuniti bandar dan juga luar bandar. Kami melihat sambutannya ketika Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw (Mei lalu) di mana semua tiket habis terjual malah tontonan atas talian juga tinggi.

“Ia juga sukan yang tidak mahal kalau kita nak laksanakan di peringkat semua umur. Kalau lihat kepada prestasi mereka, memang Malaysia mempunyai ramai pemain berbakat.

“Jadi kami mahu mempromosi dan memperkasakan ekosistem sedia ada,” katanya pada sidang media selepas sesi perbincangan meja bulat pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas, hari ini.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan skuad sepak takraw negara dengan Perdana Menteri mengumumkan imbuhan RM10,000 buat setiap pemain dan jurulatih susulan prestasi di Kejohanan Piala Dunia, Mei lalu.

Sebelum ini, sepak takraw bersama angkat berat dan taekwondo digugurkan MSN daripada senarai sukan teras pada 2017 berikutan prestasi buruk serta tidak menunjukkan peningkatan.

Dalam pada itu, Hannah turut memaklumkan yang KBS sedang dalam usaha mewujudkan projek perintis yang tertumpu kepada kejohanan khusus buat warga emas.

“Kejohanan ini kita akan mulakan dan seperti diumumkan sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) akan adakan kejohanan sukan kategori Masters tahun ini selepas penganjuran SUKMA (Sukan Malaysia).

“SUKMA adalah untuk golongan muda, jadi untuk kategori terbuka, kita akan buat projek perintis pada tahun ini di mana kita akan buat di Kuala Lumpur Sports City di Kuala Lumpur.

“Yang itu, maklumat lanjut akan diumumkan MSN selepas mereka pulang dari Sukan Olimpik, SUKMA (Sarawak), LTdL (Le Tour de Langkawi)… kemudian (MSN) akan fokus untuk Sukan Masters.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Azizulhasni imbau kenangan pertama di Olimpik

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengimbau detik penampilan pertamanya di Sukan Olimpik Beijing 2008 sambil menyifatkan ia sebagai detik permulaan dalam perjalanannya di temasya terbesar dunia itu.

Pada penampilan di Beijing, Azizulhasni baru berusia 20 tahun selain diberi tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang bagi kontinjen negara yang disertai 32 atlet.

Pada edisi berkenaan, kontinjen negara membawa pulang satu pingat perak yang disumbangkan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei manakala Azizulhasni, menamatkan acara keirin perseorangan di tempat ke-10 keseluruhan dan kelapan dalam acara pecut perseorangan.

Azizulhasni atau dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ kemudian mempamerkan peningkatan dalam setiap penyertaan selepas itu dengan setakat ini, sudah memperoleh satu pingat perak di Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa di Rio 2016.

Kali ini, Azizulhasni, 36, bakal membuat penampilan kelima dan mungkin yang terakhirnya di Paris 2024 dengan membawa misi untuk membawa pulang kilauan pingat emas sulung buat negara.

“Penampilan pertama ke temasya di Beijing sebagai pembawa bendera untuk kontinjen negara di Stadium Sarang Burung (Bird’s Nest),” tulis Azizulhasni dalam hantarannya di media sosial.

“Berumur 20 tahun, tampil dengan penuh cita-cita yang tinggi untuk menjadi yang terbaik bukan hanya di Malaysia, bukan sahaja di rantau Asia, akan tetapi mahu menjadi yang terbaik di dunia.

“Apa yang saya tahu, waktu itu adalah sebuah permulaan kepada perjalanannya. Dan tidak pula saya tahu akan bagaimana pengakhirannya. Berbekalkan saiz badan biasa tetapi semangat yang luar biasa, saya mulakan segalanya.”

Kem berbasikal trek turut disertai Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri. Berbasikal trek dijadual berlangsung di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines dari 5 hingga 11 Ogos ini.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Johor sedia pertahan gelaran juara Sukma – Pandak

Iskandar Puteri: Kontinjen Johor menyahut cabaran untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak, bulan depan, walaupun sukan kanu yang menjadi lubuk emas tidak dipertandingkan.

Chef de Mission (CDM) Johor, Datuk Pandak Ahmad berkata, pada edisi 2022 di Kuala Lumpur, Johor memperoleh 25 pingat emas menerusi sukan kanu, namun acara berkenaan tidak diadakan di Sarawak apabila temasya bermula 17 Ogos depan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tetap menyasarkan kedudukan kelompok tiga terbaik dengan sasaran 60 kilauan emas dengan acara olahraga, memanah, silat dan tinju menjadi sasaran lubuk emas.

“Seramai 599 atlet menjadi taruhan Johor untuk Sukma ke-21 dan dijangka akan berlepas ke Sarawak pada 16 Ogos dan pasukan bola sepak berlepas lebih awal pada 11 Ogos.

“Perkampungan bagi kontinjen Johor terletak di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kuching dengan 12 acara dipertandingkan di Miri, Mukah, Betong dan Bintulu,” katanya.

Pandak berkata, semua pengurus pasukan harus memainkan peranan penting terutama mempersiapkan atlet Johor.

Beliau berkata, persiapan dari segi mental dan fizikal atlet Johor sangat penting selain semangat kesukanan dan disiplin yang tinggi untuk berjuang atas nama negeri Johor.

“Kami berpuas hati dengan segala persiapan yang dilakukan selepas melakukan tinjauan di setiap pusat latihan sukan bagi memantau perkembangan semasa prestasi atlet kontinjen Johor.

“Walaupun cabaran kontinjen Johor kali ini agak berat kerana hadir sebagai juara bertahan, dengan kerjasama semua pihak, tidak mustahil kita dapat menjadikannya sebagai kenyataan,” katanya.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Selangor tawar diri tuan rumah Sukma 2026

SELANGOR menawarkan diri menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas mengambil kira manfaat yang akan diperoleh melalui temasya sukan berprestij itu.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah pada 1998 dan penganjuran semula selepas 28 tahun itu selari hasrat dengan kerajaan negeri untuk mengangkat prestasi sukan serta keupayaan atlet negeri.

Menurutnya, acara sukan yang diadakan setiap dua tahun itu juga berpotensi mengangkat pelancongan sukan yang merupakan salah satu elemen penting dalam agenda negeri.

“Kita memiliki hampir semua kemudahan infrastruktur sukan bertaraf antarabangsa. Melalui Sukma ini, kita mahu menjana bukan sahaja dari segi pelaksanaan tetapi juga menarik peminat sukan dari dalam negeri dan juga di Asia Tenggara.

“Atas faktor itu, kita melihat Selangor perlu ambil peluang penganjuran sukan berprestij ini untuk menjana ekonomi setempat.

“Dari segi penganjuran mungkin kita perlu mengeluarkan kos tetapi dari segi impak pulangan sebenarnya lebih bermanfaat kepada negeri, ” katanya mengulas mengenai persediaan Selangor menjadi tuan rumah Sukma 2026.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Bizmatch Mega PKNS di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 dekat sini pada Selasa.

Dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengumumkan bahawa Selangor dipilih sebagai tuan rumah Sukma edisi ke-22.

Selangor tampil menawarkan diri untuk mengelolakan temasya tersebut dan mendapat persetujuan sebulat suara oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia ketika mesyuarat berkenaan diadakan.

Mohd Najwan berkata, penganjuran sukan itu juga memberi peluang kepada Selangor untuk menaik taraf fasiliti sukan sedia ada.

“Dari segi fasiliti, Selangor ada semua kemudahan sukan cuma perlu dinaik taraf. Ini merupakan peluang kerajaan negeri berbuat demikian yang bukan hanya untuk kemudahan atlet Selangor tetapi juga untuk persiapan sukan itu nanti,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Kompleks Sukan Shah Alam boleh dijadikan vanue utama Sukma jika ia dapat disiapkan menjelang 2026.

“Kita harap pembinaan kompleks sukan ini dapat disiapkan mengikut jadual. Jika ia dapat disempurnakan dengan baik, kita boleh jadikan sebagai vanue utama penganjuran majlis perasmian nanti,” ujarnya.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 28 sukan teras ditetapkan namun yang muktamad akan diumumkan kemudian.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
TAKLIMAT KOD SUKAN BERSAMA JURULATIH DAN PENGURUS PASUKAN KONTINJEN SUKMA NEGERI SEMBILAN

Sesi Taklimat Kod Sukan Selamat telah diadakan bersama Jurulatih dan Pepngurus Pasukan Kontinjen SUKMA Negeri Sembilan pada 22 Julai 2024 bertempat di Arena Premier Boutique Hotel, Seremban.

Seramai 50 orang jurulatih dan pengurus pasukan telah hadir pada sesi taklimat yang dianjurkan oleh Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE), MSN. Turut hadir sama, YBhg. Datuk Shalin Zulkifli, Ketua Sekretariat MACE, MSN.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Atlet ekuestrian negara teruja sambung belajar di UMK

JELI – Atlet ekuestrian negara, Anfal Insyirah Abu Talib, 18, menyambung pengajian peringkat asasi di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini.

Pemenang tempat kedua pada kejohanan Endurance Dunia FEI (Bawah 21 & ke bawah) di Ermelo, Belanda itu melapor diri di kampus UMK Jeli pada Selasa.

Anfal Insyirah berkata, beliau gembira dan teruja kerana terpilih dalam kalangan 14,000 permohonan yang diterima untuk melanjutkan pengajian di UMK.

“Saya amat gembira kerana UMK merupakan pilihan pertama dalam permohonan. Saya bercita-cita untuk menjadi doktor perubatan veterinar dan mewakili UMK ke peringkat dunia dalam sukan kuda lasak sekiranya diberi peluang.

“Saya akan mengikuti pengajian Asasi Sains di Kampus Jeli dan bukan satu masalah untuk menumpukan perhatian kepada kedua-dua bidang iaitu akademik serta sukan berkuda,” katanya kepada pemberita pada Hari Pendaftaran Pelajar Asasi Baharu Semester 2024/2025, di Dewan Utama, UMK Kampus Jeli, di sini.

Atlet ekuestrian negara, Anfal Insyirah menyambung pengajian peringkat asasi di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli.

Atlet ekuestrian negara, Anfal Insyirah menyambung pengajian peringkat asasi di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli.

Sementara itu, Ketua Jabatan Sains Pusat Pengajian Asasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK-AsCent), Dr Aainaa Syazwani Mohamad Amir Hamzah berkata, seramai 315 pelajar baharu sesi 2024/2025 mendaftar bagi mengikuti program Asasi Sains dan Asasi Teknologi Maklumat Huffaz di UMK Kampus Jeli.

Menurut beliau, UMK-AsCent dapat mengekalkan jumlah pelajar yang mendaftar pada sesi kali ini sepertimana jumlah yang diterima pada sesi lepas.

“Alhamdulillah kita dapat mengekalkan populariti program Asasi Sains seperti tiga tahun sebelum ini apabila menerima permohonan sebanyak 14,000 pada sesi ini daripada pelajar lepasan SPM.

“Namun, selepas proses pemilihan dilakukan seramai 315 pelajar baharu hadir mendaftar pada hari ini yang sebahagian besarnya akan mengikuti program pengajian Asasi Sains di UMK Kampus Jeli,” katanya.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Dua pemain catur negara muncul juara di Taiwan

Kuala Lumpur: Dua pemain catur negara berjaya membantu Malaysia untuk muncul juara keseluruhan Kejohanan Catur Jemputan Antarabangsa Naga Asia di National Taiwan University semalam.

Kedua-dua mereka, Haziq Nasruddin dan Iwan Schani Ibnu berjaya muncul juara dalam kategori masing-masing iaitu bawah 16 tahun dan terbuka.

Haziq Nasruddin berjaya mengutip mata keseluruhan tertinggi sebanyak 8.5 mata selepas mengalahkan pemain tuan rumah, Pu Yu pada pusingan kesembilan sekali gus mengesahkan kejuaraan mutlak milik Malaysia.

Bagi kategori terbuka pula menyaksikan perlawanan pada pusingan akhir yang cukup mendebarkan apabila pemain Malaysia, Iwan Schani terpaksa berhempas-pulas sebelum bergelar juara dengan menumpaskan lawannya, Jerry Chang daripada Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, Ketua Delegasi Pasukan Catur Malaysia, Noor Hafiz Mohd Nor menyifatkan prestasi cemerlang skuad negara turut disumbang pengenalan sulung sukan catur di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 pada Ogos depan.

Jelasnya, program Pemerkasaan Komuniti Catur Digital juga ternyata memberi impak positif kepada pembangunan bakat-bakat baharu.

Kata Hafiz, kemenangan itu juga penting sebagai persiapan pasukan negara ke Kejuaraan Chess Amatur Dunia FIDE di Greece pada Oktober depan.

“Saya juga berterima kasih atas sokongan pelbagai pihak yang banyak membantu persiapan bagi kejohanan ini khususnya Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Persekutuan Catur Malaysia (MCF), Pertubuhan Pemerkasaan Komuniti Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Jabatan Penerangan,” katanya.

Kejohanan tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Catur Taiwan (CTCA) menyaksikan pembabitan 34 peserta dari Macau, Hong Kong, Korea Selatan, Malaysia, AS dan tuan rumah, Taiwan.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PELEPASAN KONTINJEN NEGARA KE TEMASYA SUKAN OLIMPIK PARIS 2024

All the best in Paris, Goh Jin Wei! 🫶🏻

Temasya Sukan Olimpik Paris akan membuka tirai pada 26 Julai hingga 11 Ogos 2024 dengan sasaran untuk membawa pulang pingat emas pertama buat negara.

Terima kasih diucapkan kepada barisan penaja rasmi MSN:

1) 100 Plus

2) Tudung People

Majlis Sukan Negara Malaysia