KUALA LUMPUR: Skuad badminton kebangsaan kini sudah memasuki ‘gear lima’ dalam misi menjelmakan kilauan pingat buat kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.
Kem latihan pusat di Lille, Perancis selama seminggu menjadi azimat terbaik buat tiga wakil beregu badminton negara bagi menghadapi temasya kali ini.
Cabaran skuad badminton kebangsaan akan diketuai pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang juga beregu lelaki utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang JieToh Ee Wei.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata ketiga-tiga pasangan beregu negara itu semakin bersemangat untuk tampil di gelanggang pertandingan di Paris nanti.
“Secara teknikalnya, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran kita sudah melakukan persiapan yang cukup baik sejak menjalani kem latihan diadakan di sini (Lille) pada Ahad lalu.
“Sehinggalah hari terakhir hari ini (Ahad), mereka telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan semangat luar biasa ketika latihan. Itu satu petanda positif menjelang Olimpik Paris,” kata Rexy.
Pada masa sama, Rexy memberitahu, anak-anak buahnya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental menjelang bermulanya acara badminton Sukan Olimpik Paris 2024 pada 27 Julai ini.
“Bagi Aaron dan Wooi Yik, persiapan mereka cukup signifikan. Dari segi teknik dan skil tiada masalah, cuma hanya beberapa perkara kecil perlu diperbetulkan terutamanya bagaimana cara mereka menangani tekanan.
“Untuk Tang Jie dan Ee Wei pula, persiapan mereka juga baik. Saya juga nampak Ee Wei sudah kembali berada dalam kondisi terbaiknya dan harap dia dapat mengawal apa jua situasi apabila turun ke gelanggang nanti.
“Sama juga persiapan Pearly dan Thinaah, mereka cukup bersemangat setiap kali turun menjalani latihan di sini (Lille). Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk melindungi Pearly daripada mengalami kecederaan,” katanya.-Berita Harian