KUALA LUMPUR: Badminton sentiasa menjadi sandaran utama pingat emas sulung negara di Sukan Olimpik dan kemudian ia disusuli sukan berbasikal trek yang tertumpu kepada Datuk Azizulhasni Awang.
Sandaran itu sekali lagi diletakkan di bahu Azizulhasni di Paris 2024 apatah lagi sasaran emas itu diakui sendiri menjadi buruannya pada penampilan kelimanya di Olimpik kali ini.
Azizulhasni, 36, sudah pun berjaya meraih gangsa dan perak, masing-masing di Rio 2016 dan Tokyo 2020 dan hanya satu lagi kilauan pingat yang belum berada dalam genggamannya, iaitu emas dan itu adalah impiannya sebelum mengakhiri karier sebagai pelumba.
“Bagi diri sendiri, inilah kemuncaknya untuk meraih pingat emas sekalipun saya sedar bakal mendapat tentangan daripada pelumba dari Belanda, Jepun, Australia dan Great Britain.
“Saya mahu membuktikan sesuatu dan membalas kepercayaan yang diberikan kepada saya selama ini dengan membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik buat Malaysia,” kata Azizulhasni baru-baru ini.
Di Paris nanti, Azizulhasni atau dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ bakal ditemani dua lagi rakan seperjuangan iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Shah Firdaus bakal membuat penampilan kedua di Olimpik dengan fokus utamanya pasti tertumpu ke arah untuk melakukan kayuhan bertenaga selepas mengalami insiden ngeri di Tokyo 2020.
Pelumba berusia 28 tahun itu tidak bernasib baik apabila mengalami kemalangan pada saringan kedua acara keirin di Velodrom Izu namun semangat kentalnya untuk ‘melupakan’ kesakitan dialaminya menjadi tunjang kepada perjuangan di Paris 2024 kali ini bagi memburu kilauan pingat.
“Saya sudah meletak sasaran itu sejak di Tokyo lagi. Seperti di Tokyo saya nampak kemampuan saya, saya boleh menang perlumbaan itu. Dalam keirin, semua ada peluang sama rata untuk menang,” kata Shah Firdaus pada April lalu.
Dalam pada itu, Nurul Izzah pastinya teruja dan bersemangat pada penampilan pertamanya di pentas Olimpik tambahan pula pelumba berusia 21 tahun itu diapit dua ‘abang’ yang mempunyai kekuatan mentaliti luar biasa.
Nurul Izzah sentiasa menerima kata semangat dan motivasi tinggi terutama dari Azizulhasni sendiri yang menyifatkan ‘The Pocket Rocketwoman’ itu hampir ‘sinonim’ dengannya terutama dari sudut saiz fizikal yang lebih kecil berbanding lawan.
“Cerita kami hampir sama pada waktu permulaan. Berasal dari kampung dan saiz pun kecil berbanding atlet kebiasaan. Kemahuan tinggi Izzah membuatkan dia terus dapat meningkatkan prestasi dan sentiasa dahaga mengejar kejayaan,” kata Azizulhasni mengenai Nurul Izzah.
Dalam pada itu, kem berbasikal negara turut diwakili seorang lagi pelumba wanita yang beraksi dalam acara lebuh raya iaitu Nur Aisyah Mohamad Zubir.
Nur Aisyah juga bakal membuat penampilan sulung di Paris 2024 dan penyertaannya itu adalah yang pertama dalam tempoh 12 tahun selepas kali terakhir skuad lebuh raya negara beraksi di London 2012 menerusi Muhammad Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa Rusli.
“Seperti yang kita tahu, Sukan Olimpik menampilkan atlet terbaik dunia. Ini satu pengalaman berharga buat saya apabila dapat bersaing dengan pelumba terbaik dunia,” kata Nur Aisyah sebelum ini.
Acara berbasikal trek dijadual berlangsung di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines dari 5 hingga 11 Ogos manakala acara lebuh raya pada 27 Julai, 3 dan 4 Ogos di Pont d’Iena.-Berita Harian