Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Chong Wei cabar lebur rekodnya

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei muncul atlet terbaik Malaysia di pentas Sukan Olimpik setakat ini dengan rekod kejayaannya memenangi tiga pingat perak.

Bekas jaguh perseorangan badminton lelaki negara itu menyambar perak pertama ketika penampilan di Olimpik Beijing 2008 diikuti London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Justeru, Chong Wei yang bersara pada 2019 berharap atlet negara yang akan bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 dapat mengatasi rekodnya itu dengan menghadiahkan emas sulung buat kontinjen Malaysia.

Katanya, dia akan menjadi individu paling gembira sekiranya ada atlet negara yang berjaya menamatkan penantian panjang Malaysia di Paris kali ini, sesuatu yang tidak berjaya dilakukannya ketika bergelar pemain.

“Saya memang harap ada atlet negara yang boleh memenangi emas pertama untuk negara. Tidak kisah sesiapa pun, saya sentiasa beri sokongan dan begitu juga seluruh 33 juta rakyat Malaysia.

“Kita sudah tunggu terlalu lama untuk melihat atlet negara memenangi emas Olimpik. Mungkin Lee Zii Jia (badminton), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton), Datuk Azizulhasni Awang (berbasikal trek), Pearly Tan-M Thinaah (badminton)… kita tidak tahu.

“Mungkin juga kita boleh membawa pulang lebih daripada satu emas.

“Apa yang paling penting sekarang, kita sebagai rakyat Malaysia perlu berada di belakang atlet dan menyokong perjuangan mereka di Olimpik kali ini,” kata Chong Wei kepada BH Sukan.

Bekas jaguh China, Lin Dan dua kali mengecewakan Chong Wei daripada merangkul emas di Sukan Olimpik apabila tewas di tangan lawan itu pada aksi final di Beijing dan London.

Percubaan ketiga Chong Wei bagi meraih emas juga tidak berjaya di Rio de Janeiro apabila dia dikecewakan dengan kekalahan di tangan seorang lagi bekas bintang China, Chen Long biarpun sebelum dia menumbangkan Lin Dan di separuh akhir.

Menurut Chong Wei, dia tidak kisah sekiranya tidak lagi memegang rekod atlet terbaik Malaysia di Sukan Olimpik apabila menegaskan kejayaan buat negara dengan memenangi emas pertama adalah lebih utama.

“Rekod itu hanya untuk diri sendiri tetapi apa yang lebih penting dan bermakna adalah kejayaan untuk negara. Ia akan menjadi detik paling indah apabila kita dapat kongsikan kejayaan bersama seluruh negara.

“Saya berharap atlet berjuanglah demi negara dan bukannya fikir mengenai diri sendiri,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

Sukan Olimpik Paris akan membuka tirai secara rasmi dengan acara pembukaan yang dijadual berlangsung, Sabtu ini.-Berita Harian