Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives July 22, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PM umum imbuhan RM10,000 kepada pemain, jurulatih sepak takraw kebangsaan

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan imbuhan sebanyak RM10,000 untuk setiap pemain dan jurulatih pasukan sepak takraw kebangsaan susulan kejayaan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw Tahun 2024, Mei lalu.

Perkara itu diumumkan Anwar semasa mengadakan pertemuan dengan pasukan kebangsaan selepas kejayaan mereka memenangi pingat emas dan merangkul gelaran juara berganda dalam kejohanan tersebut.

“Sekalung tahniah dan penghargaan tertinggi buat seluruh anggota pasukan sepak takraw kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara serta melonjakkan imej serta standard sukan sepak takraw kebangsaan di persada dunia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata dalam pertemuan itu beliau turut membincangkan beberapa perkara termasuk keperluan mewujudkan stadium sepak takraw negara, status sukan sepak takraw sebagai sukan bukan teras, peluang melanjutkan pelajaran serta kerjaya dan kebajikan atlet sepak takraw.

Pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di di Stadium Titiwangsa di sini, skuad sepak takraw kebangsaan mencipta sejarah menamatkan penguasaan Thailand selepas menewaskan mereka pada perlawanan akhir acara regu dan double masing-masing dengan keputusan 2-0.

Bagaimanapun, penantian 33 tahun skuad sepak takraw negara untuk muncul juara acara regu berpasukan pula terus berpanjangan selepas tewas kepada Thailand 1-2 dalam aksi final.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Peluang skuad basikal cipta sejarah baharu

KUALA LUMPUR: Badminton sentiasa menjadi sandaran utama pingat emas sulung negara di Sukan Olimpik dan kemudian ia disusuli sukan berbasikal trek yang tertumpu kepada Datuk Azizulhasni Awang.

Sandaran itu sekali lagi diletakkan di bahu Azizulhasni di Paris 2024 apatah lagi sasaran emas itu diakui sendiri menjadi buruannya pada penampilan kelimanya di Olimpik kali ini.

Azizulhasni, 36, sudah pun berjaya meraih gangsa dan perak, masing-masing di Rio 2016 dan Tokyo 2020 dan hanya satu lagi kilauan pingat yang belum berada dalam genggamannya, iaitu emas dan itu adalah impiannya sebelum mengakhiri karier sebagai pelumba.

“Bagi diri sendiri, inilah kemuncaknya untuk meraih pingat emas sekalipun saya sedar bakal mendapat tentangan daripada pelumba dari Belanda, Jepun, Australia dan Great Britain.

“Saya mahu membuktikan sesuatu dan membalas kepercayaan yang diberikan kepada saya selama ini dengan membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik buat Malaysia,” kata Azizulhasni baru-baru ini.

Di Paris nanti, Azizulhasni atau dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ bakal ditemani dua lagi rakan seperjuangan iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Shah Firdaus bakal membuat penampilan kedua di Olimpik dengan fokus utamanya pasti tertumpu ke arah untuk melakukan kayuhan bertenaga selepas mengalami insiden ngeri di Tokyo 2020.

Pelumba berusia 28 tahun itu tidak bernasib baik apabila mengalami kemalangan pada saringan kedua acara keirin di Velodrom Izu namun semangat kentalnya untuk ‘melupakan’ kesakitan dialaminya menjadi tunjang kepada perjuangan di Paris 2024 kali ini bagi memburu kilauan pingat.

“Saya sudah meletak sasaran itu sejak di Tokyo lagi. Seperti di Tokyo saya nampak kemampuan saya, saya boleh menang perlumbaan itu. Dalam keirin, semua ada peluang sama rata untuk menang,” kata Shah Firdaus pada April lalu.

Dalam pada itu, Nurul Izzah pastinya teruja dan bersemangat pada penampilan pertamanya di pentas Olimpik tambahan pula pelumba berusia 21 tahun itu diapit dua ‘abang’ yang mempunyai kekuatan mentaliti luar biasa.

Nurul Izzah sentiasa menerima kata semangat dan motivasi tinggi terutama dari Azizulhasni sendiri yang menyifatkan ‘The Pocket Rocketwoman’ itu hampir ‘sinonim’ dengannya terutama dari sudut saiz fizikal yang lebih kecil berbanding lawan.

“Cerita kami hampir sama pada waktu permulaan. Berasal dari kampung dan saiz pun kecil berbanding atlet kebiasaan. Kemahuan tinggi Izzah membuatkan dia terus dapat meningkatkan prestasi dan sentiasa dahaga mengejar kejayaan,” kata Azizulhasni mengenai Nurul Izzah.

Dalam pada itu, kem berbasikal negara turut diwakili seorang lagi pelumba wanita yang beraksi dalam acara lebuh raya iaitu Nur Aisyah Mohamad Zubir.

Nur Aisyah juga bakal membuat penampilan sulung di Paris 2024 dan penyertaannya itu adalah yang pertama dalam tempoh 12 tahun selepas kali terakhir skuad lebuh raya negara beraksi di London 2012 menerusi Muhammad Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa Rusli.

“Seperti yang kita tahu, Sukan Olimpik menampilkan atlet terbaik dunia. Ini satu pengalaman berharga buat saya apabila dapat bersaing dengan pelumba terbaik dunia,” kata Nur Aisyah sebelum ini.

Acara berbasikal trek dijadual berlangsung di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines dari 5 hingga 11 Ogos manakala acara lebuh raya pada 27 Julai, 3 dan 4 Ogos di Pont d’Iena.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Chong Wei cabar lebur rekodnya

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei muncul atlet terbaik Malaysia di pentas Sukan Olimpik setakat ini dengan rekod kejayaannya memenangi tiga pingat perak.

Bekas jaguh perseorangan badminton lelaki negara itu menyambar perak pertama ketika penampilan di Olimpik Beijing 2008 diikuti London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Justeru, Chong Wei yang bersara pada 2019 berharap atlet negara yang akan bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 dapat mengatasi rekodnya itu dengan menghadiahkan emas sulung buat kontinjen Malaysia.

Katanya, dia akan menjadi individu paling gembira sekiranya ada atlet negara yang berjaya menamatkan penantian panjang Malaysia di Paris kali ini, sesuatu yang tidak berjaya dilakukannya ketika bergelar pemain.

“Saya memang harap ada atlet negara yang boleh memenangi emas pertama untuk negara. Tidak kisah sesiapa pun, saya sentiasa beri sokongan dan begitu juga seluruh 33 juta rakyat Malaysia.

“Kita sudah tunggu terlalu lama untuk melihat atlet negara memenangi emas Olimpik. Mungkin Lee Zii Jia (badminton), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton), Datuk Azizulhasni Awang (berbasikal trek), Pearly Tan-M Thinaah (badminton)… kita tidak tahu.

“Mungkin juga kita boleh membawa pulang lebih daripada satu emas.

“Apa yang paling penting sekarang, kita sebagai rakyat Malaysia perlu berada di belakang atlet dan menyokong perjuangan mereka di Olimpik kali ini,” kata Chong Wei kepada BH Sukan.

Bekas jaguh China, Lin Dan dua kali mengecewakan Chong Wei daripada merangkul emas di Sukan Olimpik apabila tewas di tangan lawan itu pada aksi final di Beijing dan London.

Percubaan ketiga Chong Wei bagi meraih emas juga tidak berjaya di Rio de Janeiro apabila dia dikecewakan dengan kekalahan di tangan seorang lagi bekas bintang China, Chen Long biarpun sebelum dia menumbangkan Lin Dan di separuh akhir.

Menurut Chong Wei, dia tidak kisah sekiranya tidak lagi memegang rekod atlet terbaik Malaysia di Sukan Olimpik apabila menegaskan kejayaan buat negara dengan memenangi emas pertama adalah lebih utama.

“Rekod itu hanya untuk diri sendiri tetapi apa yang lebih penting dan bermakna adalah kejayaan untuk negara. Ia akan menjadi detik paling indah apabila kita dapat kongsikan kejayaan bersama seluruh negara.

“Saya berharap atlet berjuanglah demi negara dan bukannya fikir mengenai diri sendiri,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

Sukan Olimpik Paris akan membuka tirai secara rasmi dengan acara pembukaan yang dijadual berlangsung, Sabtu ini.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Persiapan skuad badminton masuk ‘gear lima’

KUALA LUMPUR: Skuad badminton kebangsaan kini sudah memasuki ‘gear lima’ dalam misi menjelmakan kilauan pingat buat kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.

Kem latihan pusat di Lille, Perancis selama seminggu menjadi azimat terbaik buat tiga wakil beregu badminton negara bagi menghadapi temasya kali ini.

Cabaran skuad badminton kebangsaan akan diketuai pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang juga beregu lelaki utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang JieToh Ee Wei.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata ketiga-tiga pasangan beregu negara itu semakin bersemangat untuk tampil di gelanggang pertandingan di Paris nanti.

“Secara teknikalnya, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran kita sudah melakukan persiapan yang cukup baik sejak menjalani kem latihan diadakan di sini (Lille) pada Ahad lalu.

“Sehinggalah hari terakhir hari ini (Ahad), mereka telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan semangat luar biasa ketika latihan. Itu satu petanda positif menjelang Olimpik Paris,” kata Rexy.

Pada masa sama, Rexy memberitahu, anak-anak buahnya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental menjelang bermulanya acara badminton Sukan Olimpik Paris 2024 pada 27 Julai ini.

“Bagi Aaron dan Wooi Yik, persiapan mereka cukup signifikan. Dari segi teknik dan skil tiada masalah, cuma hanya beberapa perkara kecil perlu diperbetulkan terutamanya bagaimana cara mereka menangani tekanan.

“Untuk Tang Jie dan Ee Wei pula, persiapan mereka juga baik. Saya juga nampak Ee Wei sudah kembali berada dalam kondisi terbaiknya dan harap dia dapat mengawal apa jua situasi apabila turun ke gelanggang nanti.

“Sama juga persiapan Pearly dan Thinaah, mereka cukup bersemangat setiap kali turun menjalani latihan di sini (Lille). Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk melindungi Pearly daripada mengalami kecederaan,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tiga pasukan ‘World Team’ hangatkan LTdL 2024

TIGA pasukan berstatus ‘World Team’ bakal memeriahkan perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang dijadual berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober depan.

Pasukan tersebut ialah EF Education Easypost dari Amerika Syarikat, Astana Qazagstan (Kazakhstan) dan DSM Firminich PostNL (Belanda) sekali gus melengkapkan senarai 22 pasukan bakal menghangatkan edisi ke-28 perlumbaan itu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub berkata, kejayaan memikat tiga pasukan yang menempa nama di Tour de France itu merupakan pencapaian membanggakan MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selaku penganjur selepas hanya dua penyertaan pasukan ‘World Team’ pada tahun lalu.

“Pelumba EF Education Easypost, Richard Carapaz berjaya menguasai jersi kuning pendahulu keseluruhan selepas peringkat ketiga, memenangi Peringkat ke-17 dan merangkul kategori Raja Bukit Tour de France.

“Pelumba DSM Firmenich PostNL, Romain Bardet dan Frank van den Broek pula memenangi dua tempat teratas pada peringkat pertama Tour de France tahun ini.

“Pelumba berpengalaman Astana Qazaqstan, Mark Cavendish muncul pemenang perlumbaan peringkat kelima,” katanya pada sidang media pengumuman pasukan bertanding di MSN, Bukit Jalil pada Isnin.

Abdul Rashid menambah, turut mengesahkan penyertaan ialah tujuh pasukan daripada kategori ‘Pro Team’ dalam senarai Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sekali gus membolehkan LTdL 2024 memenuhi syarat penganjuran perlumbaan berstatus Pro Series di luar Eropah.

“Lima pasukan Pro Team itu adalah Polti Kometa (Sepanyol), Tudor Pro Cycling (Switzerland), VF Group-Bardiani CSF- Faizane (Itali), Equipo Kern Pharma (Sepanyol) dan Euskaltel-Euskadi (Sepanyol) – kini berstatus ‘Grand Tour Pro Team’ dan dijemput bersaing dalam beberapa perlumbaan utama dunia seperti Giro de Italia dan Vuelta Espana 2024.

“Tiga pasukan negara juga akan menyertai perlumbaan itu termasuk Pasukan Kebangsaan Malaysia, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) dengan keseluruhan 12 pelumba negara berpeluang bersaing dengan pelumba handalan dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi LTdL 2024, Emir Abdul Jalil menyatakan bahawa pendakian Bukit Fraser yang menggantikan Genting Highlands tidak dapat diadakan susulan arahan keselamtan UCI.

“UCI mengarahkan tiada laluan menuruni bukit yang curam ekoran insiden melibatkan kematian pelumba Coop Repsol di Tour Austria baru-baru ini. Jadi kita bermula dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong pada peringkat keempat.

“Mereka (UCI) menasihatkan kita untuk cuba mengelakkan insiden ini (menuruni bukit curam) kerana kemalangan yang bukan sahaja berlaku di Austria, tetapi di Perancis melibatkan kemalangan pelumba secara beramai-ramai,” katanya.

Pelumba kelahiran Norway, Andre Drege, 25, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan menuruni bukit sehingga memaksa perlumbaan peringkat akhir Tour Austria terpaksa dibatalkan dan diganti dengan kayuhan yang didedikasikan buat mendiang.


SENARAI PASUKAN LTDL 2024

Pasukan dunia

1) EF Education Easypost (Amerika Syarikat)

2) Astana Qazagstan (Kazakhstan)

3) DSM Firminich PostNL (Belanda)

Pasukan profesional

1) VF Group Bardiani CSF Faizane (Itali)

2) Polti Kometa (Sepanyol)

3) Tudor Pro Cycling (Switzerland)

4) Equipo Kern Pharma (Sepanyol)

5) Euskaltel-Euskadi (Sepanyol)

6) Corratec Vini Fantini (Itali)

7) Burgos BH (Sepanyol)

Pasukan antara benua

1) Terengganu Cycling Team (Malaysia)

2) Malaysia Pro Cycling (Malaysia)

3) Hengxiang Cycling Team (China)

4) Nusantra Pro Cycling Team (Indonesia)

5) JCL Team Ukyo (Jepun)

6) Ara Skip Capital (Australia)

7) HKSI Pro Cycling Team (Hong Kong)

8) Aisan Racing Team (Jepun)

9) Li Ning Star Cycling Team (China)

Pasukan kebangsaan

1) Malaysia

2) Thailand

3) Filipina

-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PERKHIDMATAN MENGURUSKAN PENYEDIAAN SAJIAN DAN HOSPITALITI DI KHEMAH PENAJA UNTUK PENGANJURAN LTDL 2024-Tutup

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

040103 – MAKANAN BERMASAK (ISLAM)

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/026/2024 (SP)
TAJUK SEBUTHARGA : PERKHIDMATAN MENGURUSKAN PENYEDIAAN SAJIAN DAN HOSPITALITI DI KHEMAH PENAJA UNTUK PENGANJURAN LTDL 2024
TARIKH BUKA : 22 JULAI 2024 (ISNIN)
TARIKH TUTUP : 29 JULAI 2024 (ISNIN)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Mohd Fairul Fadzli Ahmad Muzni (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929012

Muat Turun: <Iklan><Spesifikasi><Maklumat Penyebutharga><Akuan Pembida>

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tekanan bukan lagi perkara utama di Paris 2024

ATLET negara yang menggalas cabaran pada Sukan Olimpik 2024 diingatkan supaya segera menyesuaikan diri dengan keadaan semasa di Paris, Perancis.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, isu tekanan bukan lagi menjadi perkara utama kerana atlet telah pun dipersiapkan lebih awal bagi temasya berintensiti tinggi itu.

Menurutnya, atlet telah menjalani siri persediaan latihan rapi dilakukan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) beberapa bulan lalu.

Malah katanya, terdapat dalam kalangan mereka telah digerakkan lebih awal ke Eropah bagi menyesuaikan diri dari segi masa, persekitaran dan makanan.

“Cuma bagi yang pertama kali, mereka perlu menyesuaikan diri dengan masa kerana itu penting, selain cuaca yang mungkin menjadi ‘musuh’ nombor dua di sana.

“Dari aspek psikologi, mental dan fizikal mereka sepatutnya telah membuat penyesuaian tambahan agar keterujaan beraksi di Olimpik Paris diterjemahkan persembahan membanggakan negara,” katanya.

Selain itu jelas Mohd Sadek, atlet negara juga perlu lebih ringan mulut berkomunikasi dengan pegawai MSN atau ISN, selain jurulatih bagi mendapatkan khidmat nasihat.

“Sebenarnya mereka sudah kenal lawan berprofil tinggi masing-masing kerana telah bertemu sebelum ini, cuma tahap penyesuaiannya diri pada hari pertarungan menjadi ukuran prestasi.

“Komunikasi ini penting apabila beraksi di temasya berintensiti tinggi seperti Sukan Olimpik, suasananya amat berbeza tidak seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia, jauh sekali Sukan SEA.

“Mungkin selama ini mereka berkongsi taktikal dengan jurulatih, namun bagi aspek psikologi, mereka perlu merujuk kepada yang lebih arif seperti pakar psikologi,” katanya.

ATLET MALAYSIA SUKAN OLIMPIK PARIS 2024

TERJUN

Bertrand Rhodict Lises

(10 meter Platform Lelaki)

Nur Dhabitah Sabri

(3 meter Papan Anjal Wanita)

RENANG

Khiew Hoe Yean

(400 meter gaya bebas lelaki)

Tan Rouxin

(Renang 100 meter Kuak Dada Wanita)

OLAHRAGA

Muhammad Azeem Mohd Fahmi

(100 meter Lelaki)

MEMANAH

Ariana Nur Dania Mohamad Zairi

(Individu Wanita, Berpasukan Wanita)

Syaqiera Mashayikh

(Individu Wanita, Berpasukan Wanita)

Nurul Azreena Mohd Fazil

(Individu Wanita, Berpasukan Wanita)

BADMINTON

Lee Zii Jia

(Perseorangan Lelaki)

Goh Jin Wei

(Perseorangan Wanita)

Aaron Chia- Soh Wooi Yik

(Beregu lelaki)

Pearly Tan-M Thinaah

(Beregu wanita)

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei

(Beregu Campuran)

BERBASIKAL

Nur Aisyah Mohamad Zubir

(Lebuh Raya Wanita 158 kilometer)

Datuk Mohd Azizulhasni Awang

(Keirin Lelaki, Sprint Lelaki)

Muhammad Shah Firdaus Sahrom

(Keirin Lelaki, Sprint Lelaki)

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri

(Keirin Wanita, Sprint Wanita)

GOLFGavin Kyle Green

(Individu Lelaki)

Ashley Lau Jen Wen

(Individu Wanita)

PELAYARAN

Khairulnizam Mohd Affendy

(Men’s One Person Dinghy –ILCA 7)

Nur Shazrin Mohamad Latif

(Women’s One Person Dinghy–ILCA 6)

MENEMBAK

Johnathan Wong Guanjie

(10 meter Air Pistol Lelaki)

ANGKAT BERAT

Mohamad Aniq Kasdan

(61 kilogram lelaki)

-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia