Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nabil, Zara ungguli Sirkit Remaja Kebangsaan

KUALA LUMPUR – Dua bakat muda skuasy negara, Nabil Iman Sharizan Azrol dan Najwa Zara Mohd. Fakhrur Razi menunjukkan prestasi cemerlang selepas menjuarai kategori bawah 19 tahun (B-19) Pusingan Kedua Kejohanan Skuasy Sirkit Remaja Kebangsaan hari ini.

Nabil Iman yang mewakili Perlis menewaskan pemain Kuala Lumpur, Erwin Kros Christopher dengan keputusan 12-10, 11-9, 11-4 dalam tempoh 32 minit pada aksi final di Pusat Skuasy Kompleks Astaka, Petaling Jaya

Ia sekali gus menebus kekecewaannya ketika pertarungan final Kejohanan Skuasy Remaja Asia di Bangkok,Thailand pada Mei lalu.

Pada Pusingan Pertama Kejohanan Skuasy Sirkit Remaja Kebangsaan di Pulau Pinang, Mei lalu, Nabil hanya meraih gelaran naib juara setelah tewas kepada pemain tuan rumah, Ivan Chang sekali gus menganggap kemenangan kali ini sangat bermakna baginya.

“Saya main sehabis baik kerana waktu latihan memang saya selalu kalah dengannya. Jadi saya cuba mendorong diri saya untuk menang ke atas dia dan itu menjadi sasaran saya.

“Ketika di Bangkok, saya kalah kepada Erwin dengan keputusan 1-3, jadi kali ini saya dapat kalahkannya dengan keputusan 3-0, saya rasa amat gembira,” katanya.

Sementara itu, Najwa Zara yang mewakili Kuala Lumpur turut meluahkan kegembiraan apabila berjaya mengatasi Dayana Qistina Anuar dari Kedah dengan keputusan 11-4, 6-11,11-8, 11-9 dalam tempoh 25 minit pada final B-19 wanita.

“Lawan saya bermain dengan agak baik dan memberikan tentangan sengit kepada saya. Apa pun saya gembira dapat mengatasinya dalam perlawanan final hari ini,” katanya.

Pada edisi lalu, Najwa Zara sekadar meraih naib juara apabila tewas kepada pemain Negeri Sembilan, Harleein Tan di pentas final. – KOSMO! ONLINE