Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nasihat Wendy buat penerjun negara

KUALA LUMPUR: Buat yang terbaik dan nikmati setiap terjunan.

Itu nasihat bekas penerjun wanita, Wendy Ng kepada atlet terjun negara yang akan menggalas cabaran di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada edisi kali ini, Malaysia akan diwakili Bertrand Rhodict Lises dalam acara 10 meter (m) platform individu lelaki dan Nur Dhabitah Sabri menerusi 3m papan anjal individu wanita.

Wendy yang memiliki pengalaman tiga kali beraksi di temasya terbesar dunia itu, berkata kejayaan melayakkan diri beraksi di Olimpik sudah boleh dianggap satu pencapaian besar dan apa yang paling mereka menikmati setiap terjunan yang dilakukan.

“Setiap mereka yang bergelar atlet mesti bercita-cita untuk beraksi di Olimpik. Untuk ke Olimpik juga tak mudah.

“Jadi apabila impian itu sudah dipenuhi apa yang penting adalah berikan yang terbaik,” katanya yang beraksi di Olimpik London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Olimpik Paris akan membuka tirainya pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini dengan acara terjun akan berlangsung diPusat Akuatik St Denis, Paris.

Dhabitah terlebih dahulu akan turun beraksi pada 7 Ogos dan diikuti Bertrand pada 9 Ogos bagi acara kelayakan.

Acara final 3m papan anjal akan berlangsung pada 9 Ogos manakala acara 10m platform akan berlangsung sehari selepas itu.

Skuad terjun menjadi penyumbang pingat buat kontinjen negara pada edisi London 2012 menerusi Datuk Pandelela Rinong yang meraih gangsa acara 10m individu sebelum dia memenangi perak bersama Cheong Jun Hoong dalam acara 10m terjun di Rio 2016.

Bagaimanapun, skuad terjun negara pulang dengan tangan kosong pada edisi di Tokyo 2020.-Berita Harian