Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kem memanah optimis jelmakan pingat

PEMANAH recurve negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi optimis kem memanah mampu menjelmakan sekurang-kurangnya satu pingat biarpun tampil berstatus bukan pilihan di Sukan Olimpik Paris 2024.

Atlet berusia 19 tahun itu berkata, bagi sukan memanah setiap atlet hanya akan bersaing dengan diri sendiri dalam usaha mengawal emosi dan taktik bidikan untuk memburu podium di Paris.

Oleh itu, katanya, tidak mustahil untuk kem memanah menaiki podium, sekali gus memperoleh pingat di temasya sukan empat tahun sekali tersebut.

“Tidak mustahil untuk kami bawa balik sesuatu dari Paris, mungkin pingat acara berpasukan insya-ALLAH ataupun seorang dari kami akan bawa balik pingat bagi individu, tidak mustahil bagi saya.

“Bagi saya, kami akan lawan diri sendirilah mungkin dari segi macam mana kami kawal diri dekat sana nanti mungkin kita boleh memperbaiki dari segi bidikan ke ataupun skor kami di sana,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Paris bagi temasya Sukan Olimpik Paris yang akan membuka tirainya 27 Julai ini.

Ariana berlepas ke Paris bersama dua lagi atlet memanah, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh bersama ketua jurulatih Lee Jae-hyung, seorang pengurus pasukan dan seorang pegawai perubatan.-Sinar Harian