KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) percaya atlet negara berada pada momentum terbaik sebelum beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris hujung bulan ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, pelbagai langkah diambil bagi memastikan atlet negara bebas penggunaan doping dan barang larangan.
“Saya rasa atlet negara memang sangat berhati-hati dan berdisiplin dalam pengambilan makanan tambahan yang boleh memberi kesan kepada mereka.
“Selalunya bila berlaku isu-isu doping kerana tak sengaja. Kadang-kadang ada tidak sedar bahan yang terdapat dalam makanan tambahan yang diambil,” katanya kepada pemberita pada program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) di Kolej Poly-Tech Mara, Meru Raya di sini pada Ahad.
Menurut beliau, setakat ini pihaknya tidak berdepan dengan isu doping melibatkan kontinjen negara itu.
“Jadi kita akan memastikan perkara ni tak berulang, pengambilan makanan tambahan turut dipantau di bawah Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).
“Setakat ini kita tak ada masalah berdepan dengan isu doping dan memang kita laksanakan banyak langkah-langkah yang diperlukan sebelum mereka ni berlepas ke Paris,” katanya.-Sinar Harian