SEPANG: Atlet menembak negara, Johnathan Wong enggan pulang dengan tangan kosong apabila beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.
Johnathan, 31, yang akan membuat penampilan kedua di Olimpik selepas edisi 2016 di Rio de Janeiro akan menyertai acara 10 meter (m) air pistol.
Bekas pemenang pingat emas Sukan SEA itu, berkata persiapannya kali ini lebih baik berbanding ketika di Rio de Janeiro.
ADVERTISING
Katanya, sebagai atlet sudah tentu dia mendambakan untuk memenangi pingat emas sulung buat kontinjen negara di temasya terbesar dunia itu.
“Saya rasa itu adalah kemuncaknya (memenangi emas), saya percaya semua atlet Malaysia pun memasang impian yang sama.
“Siapa yang tidak mahu menang? Kalau tak mahu menang, lebih baik kita tak pergi.
“Secara keseluruhannya, saya sudah buat persiapan terbaik dan saya yakin pasukan saya juga sudah berusaha sepenuhnya untuk membantu saya,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Paris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Johnathan, berkata keputusan yang dicapai dalam kejohanan terakhir sebelum Olimpik – Siri Piala Dunia di Munich, Jerman, bulan lalu memberi petanda positif untuk dia mencapai kemuncak prestasi di Paris kali ini.
Katanya, di Munich dia berjaya membidik 578 mata yang mana ia boleh dianggap memuaskan dan percaya dia boleh melakukannya yang lebih di Olimpik.
“Sukar untuk kita ramalkan apa yang akan berlaku di Olimpik nanti. Untuk peringkat awal, fokus adalah untuk layak ke final terlebih dahulu.
“Sekiranya berjaya ke final, sudah tentu saya akan berjuang untuk mendapatkan emas,” katanya.
Mengikut format pertandingan, hanya lapan terbaik daripada 33 atlet daripada pusingan kelayakan akan mara ke pentas final.-Berita Harian