KUALA LUMPUR: Top Residency dan Senheng New Retail Bhd (Senheng) menjadi syarikat korporat terbaru yang tampil menjanjikan habuan lumayan buat atlet negara yang berjaya memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.
Habuan sebuah pangsapuri mewah bernilai RM1 juta ditawarkan Top Residency kepada mana-mana atlet yang berjaya memenangi pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia di Paris.
Senheng pula menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM1 juta kepada tiga pemain badminton negara, Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie yang pernah berada di bawah Program Bakat Badminton SS dari 2012 hingga 2016 jika mereka berjaya meraih emas.
Sekiranya ada lebih daripada satu pemenang, wang tunai berkenaan akan dikongsikan sama rata antara mereka.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mengumumkan perkara itu, berkata pihaknya amat menghargai usaha sama antara kerajaan dengan pihak swasta yang turut memainkan peranan penting bagi memastikan kecemerlangan kontinjen negara di Paris.
“Tajaan ini adalah sebagai menyuntik semangat atlet agar dapat memberikan aksi yang terbaik di bumi Paris nanti.
“KBS (Kementerian Belia dan Sukan) mengalu-alukan lebih banyak syarikat swasta dan korporat untuk tampil ke hadapan dalam usaha sama memajukan lagi industri sukan negara,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.
Sebelum ini, Cherry Malaysia menawarkan habuan lumayan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada atlet yang berjaya memenangi pingat di Olimpik Paris.
Cherry menawarkan SUV Tiggo 8 Pro bagi atlet yang membawa pulang emas, Omoda E5 untuk pemenang perak sementara Tiggo 7 Pro bagi yang membawa pulang gangsa.
Di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), pemenang emas Sukan Olimpik akan menerima RM1 juta, perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000).
Atlet turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik yang diberikan secara bulanan sepanjang hayat dengan pemenang emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa bernilai RM2,000.-Berita Harian