Sarawak berharap acara sepak takraw wanita berpasukan disenarai semula

KUCHING: Sarawak yang juga merupakan tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 berharap jawatankuasa SUKMA Kebangsaan akan mempertimbangkan agar acara sepak takraw wanita berpasukan disenaraikan semula pada temasya nanti.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak akan mengemukakan rayuan agar acara berkenaan disenaraikan yang menjadikan kesemua 488 acara dipertandingkan pada SUKMA yang bakal berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Beliau memaklumkan acara itu digugurkan hanya kerana kekurangan satu negeri atau satu pasukan yang mana minimum enam pasukan ditetapkan untuk setiap acara dipertandingkan.

“Sehingga kini lima penyertaan (lima negeri) dan ia kekurangan satu lagi penyertaan. Sekarang sama ada lulus atau tidak dipertandingkan akan diputuskan kemungkinan selepas mesyuarat jawatankuasa SUKMA Kebangsaan pada 18 Julai ini.

“Kalau hanya tiga negeri sahaja menyertai, saya setuju ia tidak diadakan tetapi ini lebih dari tiga iaitu lima yang mana kita hanya kekurangan satu sahaja, maka kita berharap ia dapat dipertimbangkan.

“Namun saya akur dengan apa sahaja keputusan nanti oleh jawatankuasa SUKMA Kebangsaan dan saya percaya ada ruang untuk ia kembali senaraikan untuk menjadikan 488 acara kesemuanya nanti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk SUKMA XXI Sarawak 2024 di sini, hari ini.

Sehingga kini menurut beliau, lima negeri yang telah mengesahkan penyertaan dalam acara sepak takraw wanita berpasukan iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sarawak dan Sabah.

Tambah Abdul Karim, meskipun acara berkenaan tidak dipertandingkan nanti dan hanya 487 acara dipertandingkan, ia tetap jumlah acara terbesar pada penganjuran SUKMA sehingga kini.

Beliau memaklumkan sekiranya acara berkenaan digugurkan, ia pastinya mengecewakan atlet dalam acara terbabit yang telah sekian lama berlatih.

“Saya difahamkan ada atlet-atlet dari  Semenanjung sudah menempah dan membeli tiket selain sudah membuat persiapan dan persediaan.

“Keadaan ini pastinya akan mengecewakan atlet itu sendiri kerana mereka telah menjalani latihan berbulan namun terpaksa melupakan hasrat untuk bertanding disebabkan acara tersebut digugurkan susulan tidak cukup penyertaan,” katanya.-Utusan Borneo