Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives July 16, 2024

Tidak dapat tidak, atlet RTG mesti bawa pulang emas – MOM

KUALA LUMPUR: Atlet di bawah projek Road To Gold (RTG) tidak mempunyai pilihan selain memenangi emas yang diidam-idamkan Malaysia pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Najib menegaskan hal itu bagi mewajarkan pelaburan ketara kerajaan dalam menyiapkan atlet-atlet terlibat untuk mencipta sejarah pada temasya sukan terbesar dunia itu.

“Kita mesti mencapai ini (menyumbang emas)…program itu bukan untuk Paris 2024 sahaja malah menyasarkan Los Angeles 2028 (LA 2028) dengan persediaan sudah pun berjalan.

“Sama ada kita boleh capai atau tidak, ia sangat bergantung pada atlet kita ketika hari pertandingan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan penjaaan daripada Milo kepada MOM, di sini, hari ini.

Projek RTG yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan tahun lepas, bertujuan menyelaraskan usaha dalam misi membawa pulang pingat emas Olimpik pertama Malaysia dengan fokus pada edisi Paris 2024 atau LA 2028.

Setakat ini, RM25 juta telah dibelanjakan untuk projek itu meliputi elaun bulanan tambahan RM3,000 berserta sokongan sains sukan, pendedahan kejohanan dan kejurulatihan.

Antara atlet RTG yang akan bertanding di Paris 2024 termasuk jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, juara dunia beregu lelaki 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan.

Beliau turut mengingatkan kontinjen negara, termasuk atlet, agar tidak bergaul dengan orang awam semasa Sukan Olimpik atas sebab keselamatan, susulan ketegangan politik di Perancis.

Selain itu, Mohd Nazifuddin berkata jumlah penajaan yang diterima bagi edisi kali ini melebihi Tokyo 2020.

“Saya tidak dapat memberikan angka yang tepat tetapi apa yang boleh saya katakan lebih banyak (daripada Tokyo 2020) kerana kami mempunyai penaja baru. Semasa COVID-19, tidak banyak syarikat yang berminat untuk menaja tetapi kini saya fikir minat terhadap sukan telah meningkat,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada Milo kerana terus menyokong para atlet dalam mengejar kecemerlangan sukan sejak penyertaan pertama Malaysia ke Sukan Olimpik sebagai Malaya di Melbourne 1956.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Products, Lim Kerwin berkata kerjasama pihaknya dengan MOM adalah sehingga 2028 dan Milo menyediakan sokongan kewangan selain sumbangan dalam bentuk barangan untuk kontinjen negara bertanding di pelbagai temasya sukan.

— BERNAMA

Sarawak berharap acara sepak takraw wanita berpasukan disenarai semula

KUCHING: Sarawak yang juga merupakan tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 berharap jawatankuasa SUKMA Kebangsaan akan mempertimbangkan agar acara sepak takraw wanita berpasukan disenaraikan semula pada temasya nanti.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak akan mengemukakan rayuan agar acara berkenaan disenaraikan yang menjadikan kesemua 488 acara dipertandingkan pada SUKMA yang bakal berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Beliau memaklumkan acara itu digugurkan hanya kerana kekurangan satu negeri atau satu pasukan yang mana minimum enam pasukan ditetapkan untuk setiap acara dipertandingkan.

“Sehingga kini lima penyertaan (lima negeri) dan ia kekurangan satu lagi penyertaan. Sekarang sama ada lulus atau tidak dipertandingkan akan diputuskan kemungkinan selepas mesyuarat jawatankuasa SUKMA Kebangsaan pada 18 Julai ini.

“Kalau hanya tiga negeri sahaja menyertai, saya setuju ia tidak diadakan tetapi ini lebih dari tiga iaitu lima yang mana kita hanya kekurangan satu sahaja, maka kita berharap ia dapat dipertimbangkan.

“Namun saya akur dengan apa sahaja keputusan nanti oleh jawatankuasa SUKMA Kebangsaan dan saya percaya ada ruang untuk ia kembali senaraikan untuk menjadikan 488 acara kesemuanya nanti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk SUKMA XXI Sarawak 2024 di sini, hari ini.

Sehingga kini menurut beliau, lima negeri yang telah mengesahkan penyertaan dalam acara sepak takraw wanita berpasukan iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sarawak dan Sabah.

Tambah Abdul Karim, meskipun acara berkenaan tidak dipertandingkan nanti dan hanya 487 acara dipertandingkan, ia tetap jumlah acara terbesar pada penganjuran SUKMA sehingga kini.

Beliau memaklumkan sekiranya acara berkenaan digugurkan, ia pastinya mengecewakan atlet dalam acara terbabit yang telah sekian lama berlatih.

“Saya difahamkan ada atlet-atlet dari  Semenanjung sudah menempah dan membeli tiket selain sudah membuat persiapan dan persediaan.

“Keadaan ini pastinya akan mengecewakan atlet itu sendiri kerana mereka telah menjalani latihan berbulan namun terpaksa melupakan hasrat untuk bertanding disebabkan acara tersebut digugurkan susulan tidak cukup penyertaan,” katanya.-Utusan Borneo

SUKMA 2024: Sepak takraw wanita mungkin digugurkan

KUCHING: Sepak takraw wanita berpasukan berkemungkinan akan digugurkan daripada senarai acara temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 berikutan jumlah penyertaan kurang daripada jumlah minimum yang ditetapkan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata hanya Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sabah dan tuan rumah Sarawak mengesahkan penyertaan untuk acara itu, sedangkan syarat minimum SUKMA sesuatu acara itu perlu disertai sekurang-kurangnya enam pasukan.

“Hanya lima negeri sudah mendaftar untuk acara sepak takraw wanita dan ini tidak dapat memenuhi keperluan minimum enam pasukan. Kita akan ada mesyuarat SUKMA peringkat kebangsaan pada 18 Julai ini dan masih ada harapan untuk mengekalkan acara ini (untuk dipertandingkan),” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk SUKMA Sarawak 2024 di sini hari ini, beliau berkata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh akan mempengerusikan mesyuarat SUKMA peringkat kebangsaan itu dan bakal membuat keputusan berhubung status sepak takraw wanita.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan hingga 5 Julai lepas, seramai 7,801 atlet sudah mendaftarkan diri untuk bertanding dalam 488 acara dari 37 jenis sukan pada temasya terbesar negara itu yang akan berlangsung di sembilan bahagian di Sarawak dari 17-24 Ogos ini.

— BERNAMA

SUKMA 2024: Farkhan Haron dilantik sebagai Timbalan Chef De Mission kontinjen Johor

Peranan petinju profesional negara, Farkhan Haron, bakal menyuntik semangat kontinjen Johor selepas dilantik sebagai Timbalan Chef De Mission kontinjen Johor menjelang saingan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

“Berbesar hati berkhidmat sebagai Timbalan Chef De Mission buat kali ketiga berturut-turut bagi saingan SUKMA,” kata pemenang empat pingat emas Sukma itu menerusi Facebook.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet yang berbangga mewakili Johor.

“Semoga kejayaan bersama anda semua!”

Saingan Sukma bakal berlangsung bermula 17 Ogos sehingga 24 Ogos ini.-stadiumastro

SIDANG MEDIA PENGUMUMAN TAJAAN INSENTIF KEMENANGAN TEMASYA SUKAN OLIMPIK PARIS 2024

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh hari ini mengumumkan dua penaja yang akan memberikan tajaan kepada atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas pertama di Temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Dua penaja tersebut ialah dari Tan Sri Dr. Lim Wee Chai , Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove menawarkan pangsapuri servis bernilai RM 1 juta dan En. Lim Kim Heng, Pengerusi Eksekutif Senheng yang menawarkan wang tunai RM 1 juta kepada atlet yang berjaya memenangi pingat emas di bawah Program Bakat Badminton SS (2102-2016) yang telah layak ke Sukan Olimpik Paris iaitu Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tan Jie.

Tajaan ini adalah sebagai penyuntik semangat atlet untuk mempamer aksi terbaik di Paris nanti.

MESYUARAT ‘HIGH PERFORMANCE SPORT TEAM MEETING’ (HPTM) SUKAN WUSHU

Mesyuarat ‘High Performance Sport Team Meeting’ (HPTM) bagi sukan Wushu telah diadakan pada 16 Julai bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Tujuan mesyuarat ini diadakan untuk membincangkan prestasi atlet serta isu-isu berbangkit antara atlet dan jurulatih.

Turut hadir, Pengurus Sukan, Jurulatih dan Atlet.

PREPMA jelas tiga kriteria utama pemilihan perenang ke Paralimpik Paris

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Renang Para Malaysia (PREPMA) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata pemilihan atlet untuk Paralimpik Paris 2024 dibuat mengikut prosedur dan kriteria yang betul serta adil, selepas Zy Kher Lee tidak dinamakan untuk mewakili negara.

Beliau menerusi kenyataan semalam berkata, walaupun tiga atlet berjaya melepasi masa kelayakan minimum (MQS), Malaysia hanya memperoleh dua slot automatik daripada World Para Swimming (WPS) ke temasya yang bakal diadakan bermula 28 Ogos hingga 8 Sept itu.

Tiga atlet yang berjaya mencatatkan MQS ialah Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dalam empat acara dan Zy dalam dua acara, dengan kedua-dua atlet itu berada dalam kelas S5 (masalah fizikal), manakala Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan bagi satu acara dalam kelas S14 (masalah pembelajaran).

Megat Shahriman berkata selepas permohonan untuk satu slot bipartite tidak berjaya, pihaknya telah mengadakan mesyuarat pemilihan pada 3 Julai untuk menentukan dua perenang ke Paris berdasarkan tiga kriteria utama – peluang menang pingat, bilangan acara bakal disertai Malaysia dan pencapaian luar biasa.

Beliau berkata ketua jurulatih Fumiyo Minemura telah membentangkan secara terperinci kedudukan setiap atlet mengikut kriteria terbabit berdasar prestasi dari April 2023 hingga Jun lepas.

“Peratusan kebarangkalian memenangi pingat dibuat berdasarkan catatan masa, perbandingan prestasi dan pengiraan impak sains sukan pada adaptasi latihan. Muhammad Imaan Aiman mempunyai peratusan kebarangkalian memenangi pingat yang paling tinggi dengan 96.3 peratus untuk rekod peribadi (PB) dan 94.8 peratus berdasarkan rekod semasa (SB) untuk acara lelaki S14 100m kuak lentang.

“Ini diikuti Muhammad Nur Syaiful dengan 95.5 peratus (PB) / 93.2 peratus (SB) untuk acara lelaki SB4 100m kuak dada. Bagi acara S5 50m dan 100m gaya bebas, peratusan kebarangkalian memenangi pingat adalah masing-masing 94.7 peratus (PB) / 90.8 peratus (SB) serta 96.0 peratus (PB) dan 91.3 peratus (SB).

“Kebarangkalian untuk acara lelaki S5 200m gaya bebas adalah 88.7 peratus (PB), namun Muhammad Nur Syaiful tidak menyertai acara ini di kejohanan European Championships 2024 Madeira dan WPS World Series 2024 Berlin,” katanya.

Menurut Megat Shahriman, Zy yang mempunyai dua acara sama dengan Muhammad Nur Syaiful iaitu S5 200m gaya bebas dan SB4 kuak dada, hanya mampu memiliki peratusan kebarangkalian sebanyak masing-masing 90.1 peratus (PB)/ 88.2 peratus (SB) dan 87.8 peratus(PB)/ 83.3 peratus (SB) masing-masing, sekali gus menduduki kedudukan ketiga dalam pemilihan.

Megat Shahriman yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berkata bagi kriteria kedua, kontinjen negara boleh bertanding dalam lima acara daripada dua kategori yang berbeza jika Muhammad Imaan Aiman dipilih, berbanding Zy yang sama kategori dengan Muhammad Nur Syaiful, dengan Malaysia hanya boleh beraksi dalam empat acara bagi kelas S5.

Untuk kriteria terakhir, beliau berkata Muhammad Nur Syaiful meraih pingat emas acara SB4 100m kuak dada, manakala Zy memenangi dua pingat gangsa dan Muhammad Imaan Aiman satu gangsa pada Sukan Para Asia Hangzhou, tahun lepas.

“Muhammad Imaan Aiman meraih gangsa di WPS World Series 2024 Limoges dan tambah satu acara layak bawah MET (Minimum Entry Time) sementara Zy hanya memenangi satu pingat gangsa dalam kategori remaja. Pemberian dua slot oleh WPS adalah berdasarkan kepada pengiraan ranking tertinggi atlet sesebuah negara jika lebih daripada seorang atlet yang melepasi MQS.

“Dalam konteks ini, ranking Muhammad Nur Syaiful iaitu ranking ketujuh telah diambil kira pada masa pengiraan slot oleh WPS. Ini sekali gus menjawab dakwaan ranking dunia Zy yang menyumbang kepada pemberian dua slot adalah tidak tepat oleh pihak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya telah menamakan Muhammad Nur Syaiful dan Muhammad Imaan Aiman untuk ke temasya Paris 2024.

Terdahulu, Zy, 17, merayu agar beliau diberikan slot ke temasya Paris 2024, manakala bapanya Walter Lee mempersoalkan status anaknya yang tidak terpilih mewakili Malaysia.

— BERNAMA

PEMBEKALAN SISTEM PENGKOMPUTERAN AWAN (ON-CLOUD) BAGI PENGURUSAN KEWANGAN DAN PERAKAUNAN MSN-Tutup

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

210104 – Software, System Development/Customization And Maintenance Including data Entry, Data Processing

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/034/2024 (S)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBEKALAN SISTEM PENGKOMPUTERAN AWAN (ON-CLOUD) BAGI PENGURUSAN KEWANGAN DAN PERAKAUNAN MSN
TARIKH BUKA : 16 JULAI 2024 (SELASA)
TARIKH TUTUP : 23 JULAI 2024 (SELASA)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
Pn. Ramlah Zainol (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929026

Muat Turun: <Iklan><Spesifikasi><Maklumat Penyebutharga><Akuan Pembida>

Majlis Sukan Negara Malaysia