Tze Liang gagal raih slot tambahan ke Paris 2024

KUALA LUMPUR: Harapan penerjun negara Ooi Tze Liang untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak kesampaian selepas kem terjun negara gagal memperoleh slot tambahan daripada Akuatik Dunia.

Perkembangan itu dimaklumkan Pengarah Teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas selepas pihaknya membuat pengesahan dengan Akuatik Dunia berhubung slot berkenaan.

“Kami tidak dapat sebarang e-mel daripada Akuatik Dunia dan mereka sudah mengesahkan tiada slot tambahan untuk penerjun berusia 30 tahun itu.

“Jadi dengan ketiadaan Ooi Tze Liang kita hanya ada dua penerjun sahaja yang akan beraksi di pentas Olimpik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri berjaya mengesahkan penyertaan ke temasya Olimpik menerusi lebihan kuota yang tidak digunakan atlet negara lain.

Selain Dhabitah, turut bertanding di pentas Olimpik Paris 2024 adalah penerjun muda negara, Bertrand Rhodict Lises yang muncul sebagai atlet pertama negara layak ke Sukan Olimpik 2024 selepas menduduki tempat ke-10 acara 10 meter platform individu lelaki dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun tahun lalu. – BERNAMA