Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KBS salur RM300,000 buat atlet profesional ke Paris 2024

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan geran bantuan kepada empat atlet profesional negara yang mewakili kontinjen negara di Sukan Olimpik Paris 2024, hujung bulan ini.

Geran bantuan keseluruhan RM300,000 yang disalurkan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) itu diberikan kepada atlet profesional negara sebagai persiapan mereka menyertai Paris 2024.

Empat atlet yang menerima geran bantuan berkenaan adalah dari sukan golf dan badminton iaitu Gavin Kyle Green, Ashley Lau Jen Wen (golf) dan Lee Zii Jia serta Goh Jin Wei (badminton).

Sukan golf di temasya terbesar dunia itu dijadual membuka tirai pertandingan dari 1 hingga 10 Ogos ini manakala badminton dari 27 Julai hingga 5 Ogos.

Dalam satu kenyataan media, KBS memaklumkan geran bantuan ini adalah inisiatif kementerian untuk membantu meringankan beban atlet profesional negara bagi menyertai beberapa kejohanan kelayakan, kejohanan pendedahan, kem latihan, rakan sepelatih dan perkhidmatan sokongan demi memastikan persiapan serta latihan mereka dalam keadaan optimum.

“Ini adalah komitmen kami untuk membantu setiap atlet yang membawa bendera Malaysia, bahawa mereka bukan sahaja akan menerima perkhidmatan daripada pasukan ISN tetapi juga bantuan kewangan daripada kerajaan.

“Kami mahu setiap atlet tahu mereka pergi dengan sokongan penuh kerajaan dan seluruh negara,” kata Menterinya, Hannah Yeoh dalam kenyataan berkenaan, hari ini.

Dalam pada itu, KBS turut berharap bantuan tambahan ini bakal membantu barisan atlet memberi tumpuan kepada persiapan masing-masing dan persembahan terbaik mereka apabila turun mengejar kejayaan di Paris nanti.-Berita Harian