Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kedua-dua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024.
Majlis yang berlangsung di Istana Negara itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh; Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Mohamad Norza Zakaria; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shariman dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.
Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris diketuai Chef de Mission, Datuk Hamidin Mohd Amin, manakala Datuk R.Subramaniam akan mengetuai Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Paris.
Setakat ini 25 atlet dari 8 jenis sukan telah mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Paris yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.
Manakala 20 atlet dari 6 jenis sukan telah layak secara merit ke Sukan Paralimpik Paris yang akan membuka tirai pada 28 Ogos hingga 8 September 2024.


































