Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives July 2, 2024

Agong tingkatkan semangat atlet negara

KONTINJEN Malaysia yang bakal berangkat ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 meraih tonik terbaik selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan kata-kata semangat kepada barisan atlet negara di Istana Negara hari ini.

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, Baginda mengucapkan selamat maju jaya selain menyeru rakyat Malaysia mendoakan kecemerlangan atlet-atlet kebangsaan yang akan mewakili negara ke temasya berprestij itu.

“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet-atlet negara yang akan bertanding pada Sukan Olimpik 2024.

“Bersama-sama kita mendoakan kecemerlangan buat atlet-atlet yang mewakili negara ke temasya Olimpik dan Paralimpik,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Presiden Majlis Olimpik Malaysia,Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D. Shahriman.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan CDM Malaysia ke Paralimpik Paris, Datuk Subramaniam Raman Nair.

Secara keseluruhan, seramai 25 atlet kebangsaan akan mengambil bahagian pada Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirainya bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini dalam misi memburu pingat emas pertama negara di pentas berkenaan.

Bagi Paralimpik Paris, seramai 20 atlet akan menggalas tanggungjawab negara pada saingan yang dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September depan.-Kosmo

MAJLIS PENYERAHAN JALUR GEMILANG KONTINJEN MALAYSIA KE TEMASYA SUKAN OLIMPIK DAN PARALIMPIK PARIS 2024

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kedua-dua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024.

Majlis yang berlangsung di Istana Negara itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh; Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Mohamad Norza Zakaria; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shariman dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.

Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris diketuai Chef de Mission, Datuk Hamidin Mohd Amin, manakala Datuk R.Subramaniam akan mengetuai Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Paris.

Setakat ini 25 atlet dari 8 jenis sukan telah mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Paris yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.

Manakala 20 atlet dari 6 jenis sukan telah layak secara merit ke Sukan Paralimpik Paris yang akan membuka tirai pada 28 Ogos hingga 8 September 2024.

Majlis Sukan Negara Malaysia