KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria percaya barisan atlet yang menyertai kontinjen ke Sukan Olimpik Paris 2024 sudah mempamerkan prestasi terbaik mereka untuk menyertai temasya terbesar dunia itu.
Menjelang 50 hari sebelum temasya bermula katanya, kini sudah tiba masanya untuk seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet dengan misi utama memburu pingat emas pertama negara.
“Kita mesti kurangkan kerisauan kerana kitaran Olimpik ini adalah setiap empat tahun. Tentu sahaja atlet kita, mereka sudah berusaha untuk layak ke Olimpik. Dari segi impian, mereka sudah capai setengah jalan dan untuk sampai ke penghujung, sokongan dan doa kita sangat penting.
“Ini kerana, impian itu boleh diubah kepada pingat. Mereka pergi bukan sebagai penumpang, mereka tentunya mahu memberi satu makna lebih mendalam di samping mencapai impian untuk meraih pingat… paling penting untuk Malaysia dapat pingat (emas) pertama.
“Ia boleh datang dari mana-mana atlet dan disebabkan itu, kita kena kurangkan kerisauan dan seterusnya memberikan lebih sokongan padu seperti dari sudut khidmat sokongan serta doa,” kata Norza ketika ditemui media selepas majlis kira detik 50 hari menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Setakat ini, seramai 18 atlet sudah melayakkan diri ke Paris 2024 yang merangkumi lapan dari sukan badminton, tiga dari berbasikal trek, satu dari sukan berbasikal lebuhraya, dua dari sukan pelayaran, satu dari angkat berat, satu dari menembak, satu dari memanah dan satu dari terjun.-Berita Harian