TANJUNG MALIM: Bekas ratu terjun negara Cheong Jun Hoong tidak menolak kemungkinan untuk kembali dalam arena sukan terjun negara sebagai jurulatih sekiranya diberikan peluang suatu hari nanti.
Namun, bekas juara dunia berusia 34 tahun itu berkata buat masa ini, beliau belum mempertimbangkan perkara itu secara serius kerana fokusnya adalah untuk menamatkan pengajian dalam bidang komunikasi di institusi pengajian tinggi tempatan.
“Kalau nak kata tak rindu itu tipulah, cuma untuk sementara ini saya memang tak fikir untuk jadi jurulatih namun jika selepas ini mungkin boleh jika ada ruang dan peluang.
“Saya sentiasa terbuka dan sedia membantu negara yang banyak membantu hingga saya berjaya menjadi juara dunia, tetapi buat masa ini saya nak buat banyak perkara yang saya tidak dapat buat ketika menjadi atlet,” katanya ketika ditemui hari ini.
Jun Hoong yang berasal dari Ipoh mencipta sejarah apabila muncul atlet terjun pertama negara memenangi gelaran juara dunia dalam acara 10m platform individu di Kejohanan Dunia 2017 di Budapest, Hungary.
Beliau secara rasminya mengumumkan persaraannya pada Januari 2022.
Mengulas prestasi penerjun negara ketika ini, beliau mengakui terdapat penurunan dari segi pencapaian mereka namun menyifatkan situasi itu normal.
“Saya yakin prestasi mereka ini akan kembali meningkat berbekalkan program dan latihan berterusan yang dilakukan barisan kejurulatihan,” katanya. – BERNAMA