SRAM minta dana tambahan naik taraf Pusat Skuasy Nasional

KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memohon dana tambahan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menaik taraf gelanggang di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Presiden SRAM Gerard Monteiro berkata gelanggang skuasy di venue itu tidak pernah menjalani proses naik taraf sejak 1998 dan kini sedang menjalani kerja-kerja naik taraf termasuk melibatkan atap serta sistem pengudaraan.

“Kami berharap dapat menyiapkannya menjelang pertengahan tahun depan. Kami cuba mendapatkan sedikit peruntukan daripada KBS untuk menukar gelanggang memandangkan Kejohanan Dunia di Mesir baru-baru ini sudah beralih menggunakan lantai kaca.

“Kita perlu mengikuti perkembangan zaman jika mahu memastikan pemain kekal berdaya saing di peringkat dunia,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SRAM di sini hari ini.

Gerard berkata 10 gelanggang latihan perseorangan sedia ada di pusat itu bakal berwajah baharu apabila menggunakan lantai kaca mengikut standard terkini antarabangsa.

“Kami yakin ia mampu menjadi kenyataan meskipun peruntukan daripada KBS adalah untuk tahun depan tetapi kami harap dapat (dana tambahan),” katanya.

Terdahulu, pada AGM itu menyaksikan badan induk sukan berkenaan mengekalkan kesemua jawatan utama bagi penggal 2024-2025. – BERNAMA