SHAH ALAM: Selangor optimis berakhir dalam kelompok tiga teratas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos ini.
Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata Selangor turut meletakkan sasaran memenangi 13 hingga 15 peratus daripada keseluruhan 488 pingat emas yang dipertandingkan.
Beliau berkata, Selangor akan menghantar 1,138 atlet yang menyertai semua 37 jenis sukan yang dipertadingkan pada temasya dwitahunan itu.
“Kami belum mahu mengumumkan secara khusus sasaran jumlah pingat emas kerana tempoh waktu ke temasya sebenar masih panjang.
“Kami yakin boleh perbaiki kutipan pingat yang diraih pada edisi lalu kerana jika berjaya mencapai 10 peratus sasaran sahaja pun, Selangor sudah ada 48 pingat emas, jauh melebihi jumlah 31 pingat emas yang dimenangi pada tahun 2022,” katanya.
Mohamad Nizam berkata, senarai akhir atlet yang akan dipertaruhkan bagi membawa panji Merah Kuning pada temasya itu dijangka diumumkan awal bulan depan.
Beliau berkata semua atlet giat melakukan latihan intensif mempersiapkan diri dan perlu memenuhi beberapa aspek yang ditentukan jurulatih termasuk persediaan fizikal dan kecergasan serta mental dan psikologi bagi memastikan benar-benar bersedia sebelum senarai akhir ke Sarawak dimuktamadkan.
“Kami berikan tumpuan kepada beberapa acara yang berpotensi menyumbang pingat emas seperti renang, olahraga, memanah, boling padang dan menembak. Kami yakin dan mahu setiap atlet bagi sukan tumpuan itu serta beberapa acara sukan lain, mampu beraksi cemerlang seterusnya menghadiahkan emas untuk Selangor,” katanya.
Pada SUKMA 2022, kontinjen Selangor mengakhiri temasya di kedudukan ketiga dengan mengumpul 31 emas, 55 perak dan 44 gangsa bagi keseluruhan 130 pingat. – BERNAMA