Setiap orang sakit, menangis sebab kami lepaskan peluang terbaik – Pan Gon

KUALA LUMPUR: Perjuangan Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 berakhir selepas terkandas di pusingan kedua kelayakan yang menutup tirainya, malam tadi.

Menamatkan saingan Kumpulan D di tangga ketiga, ia bermakna impian untuk Malaysia ke Piala Dunia tertangguh lagi meskipun skuad kendalian Kim Pan Gon memulakan kempen kelayakan itu dengan langkah positif.

Pan Gon mengakui pasukannya menutup saingan dengan ‘menyakitkan’ selepas bermula cemerlang dalam dua aksi awal apabila menewaskan pasukan ranking lebih tinggi, Kyrgystan 4-3 sebelum mengatasi Taiwan (1-0) di gelanggang lawan.

Pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan, dua kekalahan kepada Oman menjadi antara faktor utama pasukan negara terlepas slot ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027.

“Kami belajar sesuatu di peringkat ini, tetap bangga dan kami harus bergerak ke depan. Setiap orang berasa sakit, setiap orang menangis sebab kami mendapat peluang yang baik.

“Dua aksi pertama kami menang, meraih enam mata dan ia bukan mudah. Apa yang berlaku selepas itu (menentang Oman), anda semua tahu dan saya tidak perlu katakan lagi.

“Saya katakan kepada pemain, kita tidak tahu selepas empat tahun akan datang, mungkin sebahagian pemain dan saya sendiri, mungkin kita di sini atau kita tak tahu kita akan berdepan situasi berjuang hingga ke saat akhir atau tidak.

“Namun, ia sudah berakhir. Bagi saya lebih baik kita fikirkan strategi yang lebih baik buat bola sepak Malaysia,” katanya pada sidang media selepas aksi menentang Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan 0-1 untuk menewaskan Taiwan 3-1, namun ia belum cukup bagi membawa skuad negara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027 apabila Oman terikat 1-1 dengan Kyrgyzstan.

Oman dan Kyrgyzstan mara selaku juara dan naib juara kumpulan dengan masing-masing mengumpul 13 dan 11 mata manakala Malaya yang meraih 10 mata berada di kedudukan ketiga. Taiwan di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Selain itu, Pan Gon menjelaskan perancangan seterusnya adalah bagi menghadapi Piala ASEAN pada hujung tahun ini dan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027, Mac tahun depan.

“Cabaran seterusnya adalah Piala AFF (ASEAN) pada November dan satu lagi cabaran besar (kelayakan) Piala Asia pada Mac. Bagi saya, ia ujian yang besar, jika Malaysia dapat ke Piala Asia kita akan bangga, penyokong akan bangga,” katanya.-Berita Harian