Kian Meng-Pei Jing mahu teruskan rentak di Australia

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing bertekad untuk meneruskan momentum positif mereka di Terbuka Australia minggu depan.

Selepas terkandas di separuh akhir Terbuka Indonesia semalam, beregu ranking ke-21 dunia itu gembira dengan prestasi di kejohanan berstatus Super 1000 berkenaan dan ia diharap dapat dikekalkan di Australia nanti.

Pencapaian berada di separuh akhir adalah yang terbaik buat Kian Meng-Pei Jing bagi musim ini dengan keputusan sebelum ini hanya berada di suku akhir Masters Malaysia, Terbuka Jerman dan Masters Indonesia.

“Kami akan kekalkan corak latihan semasa kerana boleh nampak yang permainan kami semakin baik dalam tempoh beberapa minggu ini. Sekarang, kami hanya perlu kekalkan konsisten dan bekerja lebih gigih dalam latihan,” kata Kian Meng.

Semalam, Kian Meng-Pei Jing tewas straight set 16-21, 18-21 di tangan beregu nombor lima dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Dalam pada itu, Pei Jing yang sebelum ini membuat pendedahan menjadi mangsa sindiket penipuan berkata, dia akan terus memberi tumpuan kepada permainan dan cuba melupakan isu peribadi dialaminya.

“Saya sekarang ini hanya memikirkan kejohanan di Australia dengan memberi fokus 100 peratus mengetepikan masalah peribadi,” katanya.

Di Terbuka Australia nanti, Kian Meng-Pei Jing dijadual bertemu pasangan tuan rumah, Ephraim Stephen Sam-Dania Nugroho di pusingan pertama.-Berita Harian