SKUAD hoki negara melabuh kempen Kumpulan B Kejuaraan Piala Negara-Negara 2023/24 dengan kemenangan 4-2 ke atas Kanada di Gniezno, Poland pada Rabu.
Di sebalik tiga mata diraih, impian Malaysia untuk ke separuh akhir dilihat samar selepas Pakistan yang kini di kedudukan kedua, turun bertemu Perancis berbekalkan kelebihan jaringan walaupun berkongsi mata dengan Malaysia.
Malaysia dalam pada itu, perlu mengharapkan Perancis menewaskan Pakistan dengan margin 8-0 pada perlawanan yang berlangsung tengah malam ini.
Empat pemain, Mohd Fitri Saari, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Muhajir Abdu Rauf muncul penjaring empat gol dalam perlawanan ini.
Speedy Tigers tidak menunggu lama membuka tirai jaringan pada minit kedua menerusi gerakan padang, Mohd Fitri Saari, menjaringkan gol pembukaan sebelum empat minit kemudian, giliran Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, meletakkan Malaysia terus selesa 2-0 juga menerusi gerakan padang.
Malaysia memiliki peluang terbaik melebarkan jurang gol minit ke-22 apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti menerusi Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan muncul penjaring gol ketiga negara.
Penghujung suku kedua, Malaysia sekurang-kurangnya memiliki dua kelebihan pukulan sudut penalti namun aksi separuh masa pertama ditutup dengan kedudukan kekal Speedy Tigers mendahului 3-0.
Kanada dilihat terus menggandakan asakan untuk cuba mengejar kedudukan Malaysia, dihadiahkan dua pukulan sudut penalti, dan pada minit ke-41, Roopkanwar Dhillon menjaringkan gol pertama.
Bagaimanapun jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila gol keempat Malaysia hadir berselang seminit kemudian selepas gerakan Muhajir Abdu Rauf gagal disekat pertahanan dengan Malaysia terus memimpin perlawanan 4-1.
Pintu gol negara diasak Kanada yang mengejutkan dengan gol kedua pada minit ke-51 apabila Maansarovar Sidhu menyudahkan hantaran rakan sepasukan, Brendan Guraliuk untuk kedudukan 4-2.
Sementara itu, pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh menyifatkan pemain berjaya menampilkan aksi baik pada separuh masa pertama namun persembahan tersebut tidak berjaya dikekalkan separuh masa kedua.
Katanya, persembahan pemain menurun pada separuh masa kedua berbanding separuh masa pertama selain pemain tidak klinikal dalam kawasan gol dan mempersiakan peluang menjaringkan gol.
“Bagaimanapun keputusan ini satu keputusan yang baik untuk pasukan terutamanya ramai muka baru yang beraksi di Poland, cuma konsistensi pemain dalam persembahan agak kurang namun kami percaya pada proses pembentukan pasukan untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang.
“Kami akan berehat dan membuat analisa perlawanan selain mempersiapkan pasukan untuk turun mencari kemenangan dalam perlawanan seterusnya tanpa mengira siapa lawan yang akan kami temui,” katanya.-Sinar Harian