Taktikal Pan-gon penentu nasib Harimau Malaya

KEPAKARAN taktikal pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon akan menjadi penentu kepada corak persembahan yang akan dipamerkan pemain negara ketika berdepan Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada Khamis.

Bekas pemain tengah kebangsaan Reezal Zambery Yahya berkata, kehilangan ramai pemain utama Harimau Malaya sudah tentu akan memberikan kesan kepada pasukan, namun ia harus dipandang positif oleh semua pihak.

Menurutnya, kepakaran Pan-gon untuk mencatur pemain yang ada di posisi tertentu yang kritikal bakal memastikan skuad negara berpeluang membawa pulang tiga mata dalam aksi Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu.

“Bola sepak sememangnya satu sukan berisiko iaitu terpaksa kehilangan pemain akibat kecederaan pada perlawanan genting. Tetapi, peluang untuk kita masih ada dan terbuka. Mahu tak mahu kita kena menang.

“Pan-gon perlu menyesuaikan taktikalnya dengan pemain yang beliau ada sekarang ini. Saya yakin, sebelum beliau memanggil pemain yang ada ketika ini, sudah tentu sudah mengkaji persembahan setiap pemain.

“Jadi, kita perlu percaya kepada kemampuan pasukan dan idea magis Pan-gon itu untuk membentuk pasukan yang mantap,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sebelum ini, skuad negara kehilangan beberapa pemain utama Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Romal Morales, Azam Azmi Muraf, Darren Lok, Syafiq Ahmad dan Ahmad Syihan Hazmi yang mengalami kecederaan.

Ia menyebabkan Pan-gon terpaksa memanggil pemain lain dan berdepan kesukaran di beberapa posisi seperti sayap kiri dan kanan yang sebelum ini diisi oleh Faisal dan Arif Aiman.

Reezal yang juga penolong jurulatih Kelantan Darul Naim FC berkata, kehadiran ramai muka baharu bakal menjadi senjata rahsia buat pasukan.

“Sebelum ini, kita pernah menentang Kyrgyzstan di Bukit Jalil dan sudah tentu mereka sudah tahu dengan kualiti pemain serangan kita.

“Apabila ada pemain baharu ini, mereka bagaikan senjata rahsia untuk Pan-gon dan pasukan lain sudah tentu tidak dapat membaca persembahan pemain baharu ini ditambah dengan strategi berbeza daripada Pan-gon,” katanya.

Selepas bertemu Kyrgyzstan, skuad negara akan menutup aksi kumpulan menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Mac.

Harimau Malaya perlu meraih kemenangan dalam dua baki perlawanan ini untuk membuka peluang mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara merit ke Piala Asia 2027.