Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives June 3, 2024

Peluang Speedy Tigers sukar

Kuala Lumpur: Peluang skuad hoki negara untuk mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara dilihat cukup sukar selepas tewas 1-3 kepada Perancis pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan B, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan Speedy Tigers kini menduduki tangga ketiga dengan hanya mengumpul satu mata selepas seri 4-4 dengan Pakistan pada perlawanan pertama.

Skuad negara terpaksa mengharapkan Perancis menewaskan Pakistan pada perlawanan terakhir kumpulan selain perlu mencatatkan kemenangan 10-0 ke atas Kanada pada perlawanan Rabu ini seandainya masih menyimpan impian ke separuh akhir.

Pada perlawanan yang berlangsung di Gniezno, Poland itu, skuad bimbingan Sarjit Singh ketinggalan seawal minit ke-5 selepas Timothee Clement meletakkan Perancis di depan menerusi pukulan sudut penalti.

Malaysia bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan padang penyerang utama negara, Faizal Saari di minit ke-28.

Namun kebangkitan yang diharapkan daripada barisan pemain negara tidak menjadi selepas Francois Goyet menambah gol kedua Perancis minit ke-43 sebelum Etienne Tynevez mengesahkan kemenangan apabila menyempurnakan penalti stroke minit terakhir perlawanan.

Dengan kemenangan itu, Perancis yang menduduki ranking kesembilan dunia dan memimpin Kumpulan B hasil enam mata, sudah pun mengesahkan tiket ke separuh akhir.-Harian Metro

Skuad tarian bawa pulang dua emas, satu gangsa dari Jerman

KUALA LUMPUR: Pasukan sukan tarian negara menampilkan gerak tari mempesonakan untuk merangkul dua emas dan satu gangsa dalam Festival Sukan Tarian 2024 di Bremen, Jerman, semalam.

Dua emas itu diperoleh menerusi Cherry Yeo dalam acara acara Latin Solo Wanita Dewasa serta Yap Wan Xin bagi kategori Latin Solo Wanita Remaja manakala Kimberly Chew menyumbang gangsa menerusi acara Latin Solo Wanita Junior ll.

Menurut Persekutuan Dance Sport Malaysia (MYDF) hari ini, lebih membanggakan Cherry yang memenangi tiga emas dalam Festival Tarian Mallorca (MDF) di Sepanyol tahun lepas kini menduduki tempat keenam teratas dunia di bawah kategori Latin Solo Wanita Dewasa.

Yap pula kini menghuni kedudukan tiga teratas dunia bagi kategori Latin Solo Wanita Remaja.

Acara ranking dunia itu diiktiraf Persekutuan Sukan Tarian Dunia (WDSF), bermula Jumaat lalu dan berakhir semalam, menarik penyertaan sekitar 250 peserta daripada 46 negara seperti Croatia, Georgia dan China.

“Kejayaan pasukan negara tidak dapat dicapai tanpa sokongan, dedikasi dan bimbingan pakar jurulatih Chua Zjen Fong dan Evon Chong dari MY DanceSport Academy. Komitmen mereka untuk memupuk bakat atlet ini telah memainkan peranan penting dalam mencapai prestasi yang luar biasa ini,” menurut kenyataan MYDF.

Selain itu, MYDF merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Kementerian Belia dan Sukan atas pembiayaan penyertaan dan sokongan padu bagi membolehkan pasukan negara itu mengharumkan nama negara di pentas dunia. – BERNAMA

Hannah simpati nasib Pei Jing

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersimpati dengan nasib malang menimpa pemain beregu campuran profesional negara, Lai Pei Jing yang menjadi mangsa sindiket penipuan sehingga mengakibatkan dia hilang hampir semua wang simpanannya.

Hannah, berkata pihaknya ketika ini sedang berhubung dengan pemain berusia 31 tahun itu bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian berkenaan bagi menyalurkan bantuan.

“Saya bersimpati dengan nasib malang yang menimpa Pei Jing, saya sedang berhubung dengan dia bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut. Saya nak tahu lebih lagi untuk melihat bagaimana saya boleh bantu,” kata Hannah.

Terdahulu, Pei Jing mendedahkan dirinya menjadi mangsa sindiket penipuan yang mengakibatkan dia hilang hampir semua wang simpanannya.

Perkara itu dikongsikan Pei Jing menerusi hantarannya di laman Instagram miliknya, malam tadi.

Susulan kejadian malang itu, pemain berusia 31 tahun berkenaan meminta semua pihak memberikan dia ruang untuk bertenang dan menangani emosinya.

Katanya, adalah tamparan yang sangat berat kerana ia adalah simpanan hasil kerja keras dirinya sejak bertahun-tahun.

Dia juga sudah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Pei Jing yang membentuk gandingan bersama Tan Kian Meng tersingkir di pusingan kedua Terbuka Singapura minggu lalu selepas tunduk di tangan gandingan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek.

Penyertaan pasangan ranking ke-23 dunia itu pada saingan Terbuka Indonesia yang bermula esok masih belum dapat dipastikan dengan mereka dijadual menentang pasangan Algeria, Koceila Mammeri-Tanina Violette Mammeri di pusingan pertama.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia