BINTULU: Kontinjen muay thai Sarawak diharap mampu meraih juara keseluruhan acara muay thai pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 yang berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos nanti.
ADVERTISEMENT
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur, kontinjen muay thai Sarawak berjaya meraih dua pingat emas.
“Kali ini besar harapan saya untuk melihat kontinjen muay thai Sarawak muncul juara keseluruhan di tempat sendiri,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat pada perasmian Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak 2024 di Naim Street Mall Paragon Bintulu malam semalam.
Katanya, sekiranya dapat dicapai misi Sarawak untuk bergelar juara keseluruhan pada SUKMA 2024 pasti dapat direalisasikan.
Ripin turut hadir mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak(MYSED) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Acara muay thai untuk SUKMA tahun ini akan berlangsung di tempat sama iaitu Naim Street Mall Paragon Bintulu.
Justeru katanya, penganjuran Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak 2024 sangat bertepatan sebagai pendedahan kepada atlet-atlet muay thai khususnya yang akan mewakili Sarawak pada SUKMA akan datang.
“Dengan menyertai kejohanan ini, kemampuan atlet-atlet muay thai kita dapat diuji dan diukur apabila mereka bersaing dengan peserta dari luar negeri dan luar negara,” tambahnya.
Beliau berkata, kejohanan itu juga menjadi landasan terbaik bagi menggilap bakat-bakat baharu yang berpotensi dijadikan atlet pelapis kerana sukan ini semakin diminati masyarakat pelbagai lapisan usia.
Pada masa sama katanya, adalah menjadi visi Kerajaan Sarawak melalui MYSED untuk menjadikan Sarawak kuasa sukan menjelang tahun 2030, sekali gus telah berbelanja besar menyediakan pelbagai prasarana sukan bagi membolehkan rakyat terutama golongan belia bersukan atau beriadah.
“Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030), Kerajaan Sarawak berhasrat melahirkan modal insan yang sihat, cergas dan berdaya saing untuk memacu visi menjadi negeri maju menjelang 2030 dan bidang sukan menjadi salah satu instrumen untuk mencapainya,” ujarnya.
Begitupun katanya, dalam keinginan para peserta untuk memburu kejuaraan matlamat utama adalah memupuk semangat kesukanan dan setia kawan.
Kejohanan itu disertai peserta tujuh negara iaitu Brunei Darussalam, Kalimantan, Indonesia, Filipina, Thailand, Iran, Sudan dan Maghribi serta lebih 200 peserta mewakili kelab tempatan dari Kuching, Serian, Bintulu, Bau, Samarahan, Miri, Sibu Semenanjung Malaysia.
Kejohanan tersebut anjuran Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama MTCP, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee, ADUN Tanjong Batu Johnny Pang, Setiausaha Tetap MYSED Morshidi Fredrick, Ketua Pegawai Eksekutif SSC merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Acara mewakili setiausaha tetap MTCP Nasir Lariwoo dan Presiden PMNS Jumaat Ibrahim.-Utusan Borneo