KEJOHANAN Terbuka Sepanyol musim panas-ujian pemilihan Sepanyol bulan depan akan menjadi medan terakhir perenang muda negara, Bryan Leong Xin Ren melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Perenang Kuala Lumpur berusia 21 tahun itu yang yang baru-baru ini memecahkan dua rekod kebangsaan dan menggondol pingat di AP Race London International bersedia menyahut cabaran untuk membuat kejutan besar dalam kejohanan 18 hingga 22 Jun ini di Mallorca, Sepanyol.
Tumpuannya di Sepanyol adalah memburu tiket Olimpik Paris dalam acara kegemarannya iaitu 100m kuak kuku-kupu.
Dalam AP Race London International minggu lalu, Bryan memenangi gangsa dalam acara 100m kuak kupu-kupu dalam masa 52.95 saat (s), Daniel Gracik dari Republik Czech (51.87s) menggondol emas manakala juara Olimpik dua kali James Guy dari Britain meraih perak dengan catatan 52.59s.
Namun untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 26 Julai-11 Ogos, Bryan perlu merakamkan masa yang lebih pantas.
Bryan perlu mencatat sama ada 51.67s untuk Masa Kelayakan Olimpik (masa A) atau mencapai sekurang-kurangnya 51.93s untuk Masa Pertimbangan Olimpik (masa B) untuk menempah slot di Paris 2024.
Ia akan menjadi tugas yang sukar walaupun prestasi peribadi terbaiknya dalam acara 100m kuak kupu-kupu ialah 52.78s, yang juga merupakan rekod kebangsaan yang dicatatnya pada Kejohanan Dunia di Doha, Qatar, Februari lalu.
Bagaimanapun, perenang negara itu sekurang-kurangnya mengambil hati daripada fakta bahawa beliau berjaya memperbahaui dua rekod kebangsaan miliknya pada pertandingan AP Race London di Pusat Akuatik London minggu lepas.
Pada 25 Mei lalu, Bryan memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 50m gaya bebas dengan mencatat 22.91s pada acara saringan untuk memadamkan catatan 23.07s yang dicipta pada kejohanan yang sama tahun lalu.
Perenang yang berpangkalan di United Kingdom itu kemudiannya memadamkan rekod kebangsaan acara 50m kuak kupu-kupu 24.14s yang dibuat oleh bekas perenang kebangsaan Chan Jie pada Kejohanan Asia Peringkat Kumpulan Umur ke-11 di Filipina pada Februari dengan mencatatkan 24.08s untuk menduduki tempat keempat pada final, Isnin lalu.
“Secara keseluruhan, saya sangat bangga untuk terus meningkat dan mencapai sasaran baharu. Saya gembira dapat mencecah bawah 23s dalam acara50m gaya bebas dan hampir mencecah masa 24s dalam acara 50m kuak kupu-kupu.
“Tetapi saya menyasarkan untuk meningkat dalam acara 100m kuak kupu-kupu kerana ia adalah acara kegemaran yang saya harap dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik.
“Saya kini akan mengalihkan perhatian kepada ujian pemilihan Sepanyol pada Jun,” kata graduan bidang neurosains dan psikologi dari King’s College London itu. – Bernama.