TAIPING: Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya enam daripada 12 tali pinggang dalam Kejohanan Malaysia International Muay Championship (MIMAC) yang berlangsung di Dataran Warisan, Taiping, Perak bermula esok hingga Ahad ini.
Presiden Persatuan Tomoi Negeri Perak, Mohd Ezry Azamin berkata, memandangkan program itu pertama kali dianjurkan, pihaknya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi pada atlet yang bertanding.
“Ini kerana kesemua atlet kita muka baru yang belum berpengalaman di peringkat antarabangsa dan kita cuba nak ‘develop’ mereka untuk ke peringkat yang lebih tinggi.
“Selain itu melihat pesaing dari 11 negara-negara lain khususnya Thailand, maka kita tidak terlalu menaruh harapan tinggi untuk mendapatkan kesemua tali pinggang yang dipertandingkan,” katanya dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Taiping merangkap Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Wah di Taiping Mall, malam tadi.
Menurutnya lagi sehingga hari ini seramai 260 peserta dari 12 negara mengambil bahagian dalam kejohanan yang akan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.-Berita Harian