PELUMBA tunggal wanita dalam acara berbasikal lebuh raya, Nur Aisyah Zubir bertekad menimba sebanyak mungkin ilmu apabila akan berkampung di Eropah bermula Selasa sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024 Julai depan.
Atlet yang berasal dari Terengganu itu akan menyertai sesi latihan serta menyertai beberapa kejohanan di Belgium, Belanda dan Perancis sebelum temasya terbesar dunia itu membuka tirai pada 26 Julai.
Beliau mahu mengutip pengetahuan dan belajar daripada pengalaman pelumba-pelumba Eropah untuk memperkemas dan memperbaiki teknik perlumbaannya agar lebih bersedia apabila bersaing kelak.
“Saya akan ke Eropah untuk sertai kem latihan dan perlumbaan di sana. Setiap minggu ada dua atau tiga perlumbaan. Saya cuba untuk biasakan diri daripada segi cuaca dan angin.
“Saya nak belajar sesuatu daripada mereka (pelumba lain) seperti cara mereka gunakan kekuatan, teknik mendaki dan kelajuan. Setiap pelumba ada kelebihan tersendiri, cuma cara untuk kita gunakan kemampuan itu pada masa yang betul atau tidak,” katanya.
Nur Aisyah turut menjelaskan perlu bijak ‘membawa diri’ ketika berada di Belgium dan menghadapi Sukan Olimpik di Paris kerana beliau merupakan satu-satunya atlet yang akan mewakili Malaysia bagi acara berbasikal lebuh raya wanita.
“Ini kali pertama saya berlumba seorang diri, ada negara yang bawa enam pelumba. Jadi saya perlu pandai bawa diri. Sasaran sudah pasti nak habiskan perlumbaan, bergantung kepada perlumbaan dan kondisi saya nanti,” katanya.
Dalam siri latihan dan kejohanan di Eropah, Nur Aisyah akan ditemani jurulatihnya, Amir Mustafa Rosli dan beliau akan terus berkelana sehingga Sukan Olimpik Paris bermula pada 26 Julai hingga 11 Ogos.-Sinar