KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri memiliki petua tersendiri dalam mengawal perasaan gemuruh menjelang Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Nurul Izzah berkata, mendengar muzik pop satu daripada petua diamalkannya bagi menenangkan diri ketika memikirkan penampilan sulungnya pada pentas Olimpik yang berbaki kurang dua bulan lagi.
“Saya mahu kurangkan gemuruh kerana sebenarnya saya jangkakan beraksi pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles namun tanpa disangka dapat ke Paris 2024.
“Tidak dinafikan ini satu daripada detik terbaik dalam hidup saya dan perlu ubah mentaliti, tenang dan nikmati perlumbaan. Buat masa ini, saya dengar lagu pop selain lakukan latihan pernafasan kerana ia juga satu daripada teknik untuk kawal gemuruh,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Atlet berusia 20 tahun dari Kedah pada masa sama berharap dapat meningkatkan tahap kekuatan otot pada sesi latihan fasa akhir Sukan Olimpik 2024 di Eropah bulan depan.
Pelumba yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketwoman’ itu berkata, dia perlu menjaga pemakanan dengan lebih menitikberatkan pengambilan protein bagi menguatkan ototnya untuk berentap dengan jaguh dunia di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines.
Sukan Olimpik 2024 akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos. – BERNAMA