KUALA LUMPUR: Kejohanan Malaysia International Muay Championship (MIMAC) yang akan berlangsung di Dataran Warisan, Taiping, Perak bermula Khamis hingga Ahad ini bakal menjadi platform terbaik bagi melahirkan lebih ramai atlet muda dalam sukan itu.
Presiden Persatuan Tomoi Negeri Perak, Mohd Ezry Azamin berkata, pihaknya lebih memberi tumpuan kepada sistem pembangunan dan kategori dipertandingkan bermula umur sembilan hingga 21 tahun.
“Kita banyak buat pembangunan sukan. Kita hendak cipta bakat baharu yang umur bawah 21 tahun dan sudah tentu tentu tiada nama besar (sertai MIMAC).
“Kalau kita tumpu kepada nama besar, sukan tempur tidak boleh tahan lama sebab semakin berumur kudrat dia pun makin kurang.
“Maka kami fokus kepada pembangunan sukan maksudnya atlet yang berusia 13 sampai 21 tahun. Mereka ini yang boleh kita naikkan ke peringkat remaja dan terbuka,” katanya.
Kejohanan MIMAC itu bakal disertai oleh 12 negara antaranya Thailand, Iran, Afghanistan dan beberapa negara lain.
Tiga kategori akan dipertandingkan iaitu Super Kid (9-11 tahun), Remaja (12-16 tahun) sementara Terbuka 16 hingga 21 tahun adalah untuk peringkat profesional dan mereka akan merebut 12 tali pinggang yang dipertandingkan pada kejohanan itu.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Wah berharap sukan seperti muay thai akan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat seperti sukan yang popular di Malaysia antaranya bola sepak, badminton dan sepak takraw.-Berita Harian