KPWK naikkan kadar honorarium atlet Sukan Para SUKMA 2024 bermula Mei

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) telah menaikkan kadar honorarium (elaun latihan) atlet Sukan Para SUKMA 2024 bermula Mei tahun ini.

Menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kadar baharu itu ialah RM1,200 untuk atlet Pelapis A, RM1,000 untuk atlet Pelapis B, RM800 untuk atlet Pelapis C dan RM600 untuk atlet baharu manakala bagi atlet elit, honorarium kekal pada kadar RM1,500.

Sebelum ini, atlet pelapis A menerima bayaran RM800, diikuti RM700 untuk atlet pelapis B sementara RM600 dan RM400 masing-masing untuk atlet pelapis C dan baharu.

“Saya menggelar ia (honorarium) sebagai elaun masa latihan mereka. Ia bagi membolehkan mereka menghadiri sesi latihan yang juga mengeluarkan wang.

“Kebanyakan mereka tidak mempunyai pekerjaan, ada juga nelayan yang kalau tak kerja tak ada duit,” kata Fatimah sambil menambah, kementeriannya menyediakan honorarium sebagai sebahagian daripada persiapan temasya sukan tersebut.

ADVERTISEMENT

Beliau berkata demikian kepada pemberita selesai mengadakan kunjungan ke sesi latihan atlet para renang dan para olahraga di Kompleks Sukan Kuching, Jabatan Belia dan Sukan Negeri di sini, hari ini. 

Fatimah berkata selain atlet para, jurulatih mereka juga mempunyai elaun dan ia dikekalkan.

“Peranan jurulatih sangat penting dalam latihan agar atlet berupaya mencapai potensi penuh mereka,” katanya.

Beliau juga mendedahkan bahawa pemenang pingat akan diberikan insentif tertentu dan kerajaan telah memperuntukkan dana untuk tujuan ini.

“Secara prinsipnya memang ada insentif untuk pemenang pingat emas, malah sebelum ini kita juga ada sediakan insentif bagi yang memenangi perak dan gangsa.

“Cuma jumlah tidak didedahkan buat masa ini, tetapi kita sudah meminta peruntukan untuk tujuan ini. Kami menyertakannya bersama permintaan bajet untuk Sukan Para SUKMA 2024 termasuk peralatan, latihan, pendedahan dan sebagainya,” jelas Fatimah.-Utusan Borneo