BINTULU: Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak 2024 di Naim Street Mall Paragon di sini, dilihat sebagai medan ujian untuk para atlet termasuk orang ramai melihat dan merasai situasi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 yang akan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos nanti.
ADVERTISEMENT
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim berkata, suasana kejohanan semalam boleh dikatakan akan menggambarkan suasana pertandingan Muay Thai ketika SUKMA nanti.
“Ia menguji bagi penganjuran SUKMA bagi merasai pengalaman sebenar dengan membayangkan keadaan penganjuran SUKMA di venue terbabit,” katanya dalam ucapan aluan pada perasmian kejohanan tersebut di sini, malam semalam.
Katanya, ini kali pertama Bintulu sebagai venue tiga acara sukan melibatkan bola sepak, sepak takraw dan muay thai.
“Keadaan ini jarang-jarang berlaku pada setiap dua tahun sekali penganjuran SUKMA dan Sarawak beruntung kerana terpilih sebagai tuan rumah,” jelasnya.
ADVERTISEMENT
Ujarnya, Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengharapkan apa juga jenis sukan di negeri ini terus maju jaya bahkan dapat meraih pencapaian terbaik dalam SUKMA 2024.
Begitupun katanya, usaha-usaha ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama pelbagai pihak yang terlibat sekali gus menuntut kerjasama semua untuk menjayakan SUKMA Sarawak bagi meraih kemenangan.
Menurutnya, Naim Street Mall Paragon Bintulu merupakan venue diiktiraf Majlis Sukan Negara Malaysia yang sesuai untuk penganjuran muay thai SUKMA.
Justeru beliau berbesar hati dengan Naim Holdings Berhad yang memberi laluan kepada penyediaan venue Naim Street Mall Paragon Bintulu sebagai gelanggang penganjuran acara muay thai SUKMA Sarawak tahun ini.
Beliau turut berharap perbadanan-perbadanan sukan dan agensi sukan dapat membantu PMNS sekiranya ada kekurangan serta menambah baik kekurangan itu dalam persediaan SUKMA agar acara itu dapat dilaksanakan dengan cemerlang dan maju jaya.
-Utusan Borneo